Manfaat 2.9 juta pembeli

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Kempen Shop Malaysia Online (SMO) di Shopee kembali untuk tahun kedua bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia melalui baucar diskaun, pulangan tunai dan subsidi penghantaran percuma.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, pada tahun lalu, kempen Ringgit-ke-Ringgit di Shopee memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta pembeli, menjana jualan bernilai lebih RM540 juta untuk 80,000 penjual Malaysia di platform e-dagang itu.

“Kempen tahun lalu memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta rakyat Malaysia yang menggunakan baucar untuk menambah baik kesihatan serta menaik taraf rumah mereka, dan juga membeli barangan keperluan harian.

“Ia juga melahirkan pembeli atas talian baharu yang secara purata membuat empat pembelian tambahan di Shopee dalam tempoh kempen ini, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu dilonggarkan. Data ini menunjukkan selain memberi impak positif kepada kegiatan ekonomi, inisiatif ini berjaya memacu digitalisasi,” katanya.

Menurutnya, bagi kempen edisi terbaru ini yang berlangsung sekarang hingga 31 Disember 2021, pihaknya mengambil pendekatan serampang tiga mata bagi kempen SMO tahun ini.

“Pertama, Shopee memberi ganjaran menarik dalam bentuk baucar diskaun, pulangan tunai Syiling Shopee dan subsidi penghantaran percuma untuk pengguna Malaysia apabila mereka menyokong dan membeli daripada penjual tempatan yang memiliki label ShopMalaysia.”Kedua, Shopee berusaha menarik pelanggan dan menjana aliran tunai kembali kepada peruncit luar talian seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka atau farmasi melalui pulangan tunai dan diskaun lebih RM3. Ini boleh didapati di portal dalam aplikasi Deals Near Me apabila pengguna membeli Baucar ShopeePay serendah 1 sen dan menebusnya dengan ShopeePay.

“Ketiga, SMO tahun ini juga membabitkan sokongan tambahan kepada penjual tempatan untuk mengeksport barangan mereka dan menembusi pasaran baharu.

“Usaha ini dilaksanakan menerusi Shopee International Platform (SIP), iaitu inisiatif rentas sempadan hujung ke hujung yang merangkumi logistik, pembayaran serta perkhidmatan pelanggan untuk penjual tempatan tanpa kos tambahan,” katanya.

Ho berkata, ramai peruncit dan peniaga kecil di Malaysia menerima manfaat daripada kempen bertema yang dijalankan Shopee di luar negara.

“Produk Halal Malaysia, kopi dan juga alat ganti automotif amat popular di luar negara. Selain itu, jenama tempatan seperti Kluang Coffee, Elianware dan Fipper juga menarik minat warganegara Singapura melalui SIP.

“Kami teruja bahawa kempen kali ini turut memuatkan elemen eksport kerana kami percaya sokongan tambahan ini terus meningkatkan daya saing penjual tempatan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, memandangkan SMO berlangsung seiring 7.7 Jualan Tengah Tahun Shopee, rakyat Malaysia akan mendapat ganjaran lebih hebat.

“Selain tawaran daripada SMO, rakyat Malaysia juga dapat menikmati penghantaran percuma tanpa pembelanjaan minimum, Pulangan Tunai Syiling Shopee 120 peratus, 7.7 juta baucar serta penjimatan hingga 77 peratus,” katanya.

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427