Malaysia, Turki, Qatar di landasan ampuh selaku peneraju gerbang kewangan Islam dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

ISTANBUL- Sektor kewangan Islam yang mula berkembang pesat, kini sudah sedia melonjak di rantau baharu menerusi Turki, Malaysia dan Qatar, kata tokoh kewangan Qatar.

Menerusi wawancara eksklusif dengan agensi berita Turki, Anadolu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kewangan Qatar, Yousuf Al-Jaida berkata, Malaysia boleh bertindak sebagai gerbang kewangan Islam ke Asia dengan Turki menjadi selaku pintu masuk Eropah dan Qatar untuk Timur Tengah dan Afrika.

Beliau berkata, Malaysia sudah bersedia dengan kerangka perundangan bagi melaksanakan sektor itu serta produk seperti Sukuk – nota kewangan Islam tanpa faedah.

Qatar dan Turki pula perlu meningkatkan lagi usaha mereka dalam sektor ini dan seharusnya dirintis oleh negara Islam.

Sambil menegaskan Doha dan Ankara harus berusaha lebih keras, beliau berkata, ketiga-tiga negara perlu membentuk satu plafom besar bagi berkongsi pengalaman, teknologi dan pengetahuan dalam bidang yang bernilai US$2,4 trilion.

“Saya fikir kita mampu mencipta suatu yang amat hebat dan gemilang dalam industri ini,,” kata al-Jaida sambil menambah, kewangan Islam kini semakin berkembang dengan lebih pantas berbanding kewangan tradisional atau konvensional.

Menurut CEO itu, wujud beberapa bidang baharu yang berpotensi menerusi kewangan Islam seperti teknologi kewangan Islam, pembiayaan semula takaful dan pengurusan aset Islam.

“Saya fikir kita mempunyai masa depan cerah dan hebat tetapi masih banyak perkara yang perlu dilakukan,” katanya.

Dengan masalah ekonomi semakin memuncak di seluruh dunia, al-Jaida berkata kewangan Islam boleh menjadi model terhadap ekonomi dunia. Mengulas mengenai projek Pusat Kewangan Istanbul yang dijangka dapat disempurnakan pada 2022, al-Jaida menyuarakan keyakinan terhadap potensi pusat berkenaan.

“Kami sudah berbincang dengan Malaysia dan Pusat Kewangan Istanbul, diharapkan kita akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) tidak lama lagi”, katanya.

Berada di lokasi strategik antara Eropah dan negara Islam, pusat kewangan itu diharap menjadi medan sektor kewangan bukan perbankan.

Al-Jaida menggesa Turki supaya bekerjasama dengan Qatar dan Malaysia bagi menjadikan kewangan Islam sebagai suatu sektor yang berjaya di negara itu.”- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427