Malaysia tekad main peranan penting dalam ASEAN – PM

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Malaysia bertekad memainkan peranan penting sebagai anggota ASEAN dalam pembangunan, ekonomi, sosiobudaya, keselamatan dan politik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang berlepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia, hari ini, menegaskan Malaysia juga akan sentiasa berusaha memperkukuhkan hubungan bersama negara tetangga berteraskan semangat MADANI dan gagasan ASEAN.

“Hari ini, saya dan delegasi berlepas ke Labuan Bajo, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.

“Malaysia bertekad utuh untuk terus memainkan peranan signifikan dalam keanggotaan ASEAN khusus membabitkan usaha pembangunan, ekonomi, sosiobudaya, keselamatan dan politik,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan, yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Antarabangsa (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Ekonomi serta MITI.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN dan Permukiman Sidang Kemuncak, Perdana Menteri turut mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

“Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) serta mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, yang dijadualkan di Sidang Kemuncak ASEAN.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam pelbagai isu, termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

“Semasa di Labuan Bajo, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN. Tema Kepengerusian ASEAN Indonesia untuk 2023 ialah ‘ASEAN Matters: Epicentrum of Growth’,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427