PETALING JAYA: Malaysia terlibat dalam usaha antarabangsa untuk menguji ubat dalam merawat Covid-19, yang menyaksikan 61 kematian di negara ini setakat ini, menerusi “kaji selidik solidariti” yang dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kaji selidik itu, yang julung kali diselaraskan di seluruh dunia, bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan dan keberkesanan 4 protokol rawatan.
Empat protokol berkenaan menggunakan kombinasi ubat antivirus novel “Remdesivir”, kombinasi ubat antiretrovirus “Lopinavir” dan “Ritonavir”, pemodulat imun “Interferon beta”, ubat antiparasit “Chloroquine” dan “Hydroxychloroquine”.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 9 hospital tempatan akan melaksanakan kaji selidik itu tidak lama lagi, diketuai perunding penyakit berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr Chow Ting soo dan 16 doktor dan ahli farmasi lain.
“Penyertaan Malaysia dalam kajiselidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sembilan hospital berkenaan Hospital Tuanku Fauziah (Kangar), Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan), Hospital Umum Sarawak (Kuching), dan Hospital Queen Elizabeth II (Kota Kinabalu).
Setakat ini 3,662 kes Covid-19 dilaporkan, dengan 2,596 sedang dirawat dan 1,005 dibenarkan keluar wad.
-FMT