Malaysia, Jepun ahli baharu Lembaga Eksekutif WHO

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lembaga Eksekutif (EB) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan Malaysia dan Jepun sebagai ahli baharunya bagi penggal 2021 hingga 2024, menggantikan China serta Australia, 26 Jun lalu.

Keahlian Malaysia dalam lembaga itu diketuai oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, manakala Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai ahli ganti.

Dr Noor Hisham berkata, EB WHO dibarisi 34 individu berkelayakan secara teknikal dalam bidang kesihatan, yang dipilih bagi penggal selama tiga tahun.

Katanya, setiap individu terbabit ditetapkan oleh negara anggota yang dipilih untuk berbuat sedemikian oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia.

Beliau berkata, fungsi utama EB ialah melaksanakan keputusan dan dasar Perhimpunan Kesihatan Sedunia, memberi nasihat serta mempermudahkan urusan WHO.

“Mesyuarat tahunan Lembaga diadakan, Januari lalu, selepas ahli bersetuju dengan agenda Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang seterusnya dan resolusi akan dipertimbangkan oleh Perhimpunan Kesihatan.

“Ia disusuli mesyuarat kedua yang lebih ringkas pada Mei atau Jun, sebagai susulan kepada Perhimpunan Kesihatan terdahulu,” katanya melalui hantaran dalam Facebook beliau, malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ahli EB WHO sebanyak tiga kali.

“Kami akan melakukan yang terbaik bagi Wilayah Pasifik Barat untuk menyokong visi serantau, antaranya ‘Untuk Masa Depan: Menuju Wilayah Paling Sihat dan Aman’ seperti dibayangkan Pengarah Serantau, Dr Takeshi Kasai.

“Selain agenda kesihatan global, Malaysia juga menyokong pembedahan yang selamat dan mampu dibiayai seperti digariskan dalam Kerangka Tindakan untuk Pembedahan Selamat dan Mampu Dibiayai di Wilayah Pasifik Barat (2021–2030) yang disahkan pada 2020,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham turut menyertai Sesi Ke-149 EB WHO secara dalam talian susulan pandemik COVID-19, petang semalam, sempena Sesi Ke-74 Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang berakhir, baru-baru ini.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam ucapan perasmiannya merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan Pengerusi EB, Dr Harsh Vardhan dari India yang bakal menamatkan perkhidmatan.

Mesyuarat kemudian melantik Dr Patrick Amoth dari Kenya sebagai Pengerusi EB yang baharu selama setahun.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427