Malaysia dijangka capai 100 peratus vaksinasi akhir Oktober

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai kadar vaksinasi penuh iaitu 100 peratus daripada penduduk dewasa menjelang akhir Oktober, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam ucapan perasmiannya di ‘The Cooler Earth Sustainability Summit’ hari ini, beliau berkata bahawa dalam melengkapkan program vaksinasi ini masih ada bantuan bernilai lebih RM300 bilion, yang akan menyokong ekonomi negara yang mana diunjurkan berkembang antara 3.0 hingga 4.0 peratus pada tahun ini.

“Dalam pada momentum pemulihan semakin meningkat, negara kita berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan antara 5.0 hingga 6.0 pada tahun 2022, berdasarkan unjuran terbaru oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.

Beliau berkata, berpandukan Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang didukung sains, data dan teknologi, berserta langkah vaksinasi yang dilakukan dalam waktu singkat, adalah antara perkara yang wajar dicontohi dalam menangani isu kemapanan, terutama dalam menangani perubahan iklim.

“Dalam konteks ini, kemajuan yang telah kita lihat dalam bidang inovasi, pengembangan dan pengkomersialan teknologi lestari dalam tempoh pandemik ini, harus dan wajar diterapkan dalam kehidupan seharian kita.

“Ini sangat penting kerana gelombang perindustrian pesat sebelumnya telah menunjukkan banyak kesan negatif,” katanya.

Menurutnya, sama seperti COVID-19 yang melebarkan jurang ketidaksamaan, isu perubahan iklim juga memberi kesan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Pakar menganggarkan bahawa tanpa adanya dasar pembendung, maka pembiayaan terkumpul bagi isu perubahan iklim untuk negara kita rata-ratanya adalah lebih dari RM400 juta setahun untuk tempoh 100 tahun dari 2010.

“Peralihan untuk menjadi ekonomi yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim bukan lagi menjadi aspirasi, tetapi juga adalah syarat mendesak untuk menghindari kerosakan yang sukar dipulihkan kepada bumi dan masyarakat kita. Kita memerlukan reformasi segera dan pendekatan menyeluruh dalam menangani ancaman ini, “katanya.

Tengku Zafrul berkata, ia memerlukan transformasi sistem ekonomi dan kewangan, serta sektor yang berkaitan dengan makanan, bekalan air dan tenaga, dengan cara yang lebih lestari, inklusif dan adil.

“Kita perlu mulai menetapkan harga dalam pelepasan karbon dan menyesuaikan lebih banyak insentif ke arah tenaga bersih dan ekonomi sekeliling, menamatkan kebebasan yang dinikmati oleh pencemar industri selama bertahun-tahun,” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427