PETALING JAYA: Peletakan jawatan Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai ketua pegawai eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad minggu lepas mengejutkan ramai pihak, tetapi urusan tetap seperti biasa bagi pengendali lapangan terbang itu.
Bercakap kepada FMT, pemangku CEO, Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata seluruh pasukan MAHB tumpu kepada masa depan.
“Raja Azmi banyak berjasa kepada MAHB, dan kita bekerjasama rapat untuk mengukuhkan pasukan ini dan bangunkan pelan masa depan jangka masa pendek dan panjang. Tahun 2020 penting untuk Malaysia dan kami terutamanya, kerana kita jadi gerbang utama untuk pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.”
Mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020, Shukri berkata MAHB mulakan langkah dengan baik apabila berjaya menaiktaraf ruang ketibaan imigresen di klia2 kepada 2 kali ganda saiznya.
“Sekarang, ruang ketibaan imigresen boleh menampung 1,000 orang pada satu masa; sebelum ini kurang daripada 500 orang.”
Sepanjang tahun, MAHB akan berusaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa, katanya.
“Kami positif boleh menarik lebih banyak syarikat penerbangan ke sini menjelang hujung 2020.”
Tahun lepas, Air Busan, Batik Air, Air Arabia, Scoot, Qatar Airways, dan Royal Brunei mula mendarat di Malaysia, manakala Indigo, Citilink, AirAsia Thailand, dan Philippins Airlines menambah penerbangan ke Malaysia dari negara-negara lain.
MAHB akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan lain, agensi-agensi kerajaan, dan pengendali pelancongan untuk meningkatkan potensi pelancongan Malaysia.
Katanya, MAHB membelanjakan jutaan ringgit untuk membantu kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, termasuk kempen RM5 juta untuk mempromosikan Langkawi dan RM10 juta untuk Program Pembangunan Pelancongan Bersama Antarabangsa di mana Tourism Malaysia juga menyumbang RM10 juta.
Dana untuk kedua-dua program itu tersedia untuk pengendali pelancongan, agensi-agensi pelancongan, dan pemain-pemain pelancongan lain.
“Kami juga menanti-menanti kemajuan yang lebih besar dari segi pelarasan semula perdagangan kami. Kami bekerja keras mengubah tawaran runcit dan makanan dan minuman kami. Ini proses yang berterusan, tetapi kami sudah nampak manfaat daripada angka jualan yang lebih tinggi, dan kami yakin akan dapat lihat angka-angka yang lebih mengalakkan menjelang penghujung 2020.”
Dari segi “perkakasan” di gerbang utama KUL (termasuk KLIA dan klia2), Shukri berkata MAHB akan memperkenalkan teknologi baru bagi meningkatkan keselamatan lapangan terbang.
Ini termasuk sistem pengecaman wajah dan perkongsian maklumat masa nyata yang direka untuk memastukan pengalaman yang lebih lancar dan mudah untuk pelancong.
“Kami juga akan menaik taraf aerotrain dan sistem pengendalian bagasi tahun ini.”
Shukrie tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua pemegang taruh bagi memastikan 2020 yang berjaya buat MAHB. -FMT