Majikan didenda RM90,000 gajikan tiga imigran haram di Tawau

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAWAU: Dua majikan hari ini masing-masing didenda RM45,000 di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan bersama mengupah tiga imigran haram di premis perniagaan mereka.

Chin Kwang Vui, 49 dan Goh You Chai, 61, mengaku bersalah atas pertuduhan menggaji dua wanita warga Indonesia serta lelaki warga Filipina di sebuah restoran pada Ogos 2019.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Goh dan Chin didakwa bersama-sama membenarkan Jessica Samuel, 21, dan Margareta Sanoa, 36, serta Felixander Subida, 30, untuk masuk dan tinggal di Weijiabao Noodle House, Kubota Sentral, Jalan Kubota di sini, jam11.40 pagi pada 17 Ogos 2019.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram ditemui di premis, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Imigresen Tawau Pilin Kenry memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal demi kepentingan awam.

Hakim memerintahkan Chin dan Goh masing-masing membayar denda RM15,000 dan jika gagal, penjara tiga bulan bagi setiap imigran.

Bernama difahamkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, membayar denda berkenaan selain kesemua imigran itu sudah diusir ke negara asal. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427