Mahu pukat ikan, tertangkap buaya

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Seekor buaya tembaga ditemukan tersangkut bersama tangkapan yang lain dalam pukat milik nelayan di Bagan Ikan, Bagan Datuk dekat sini pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada 11.30 pagi daripada nelayan terbabit yang juga adalah pemilik sebuah pelantar ikan di kawasan berkenaan.

“Dia (nelayan terbabit) telefon Pusat Kawalan Operasi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) Daerah Bagan Datuk mengatakan seekor buaya telah ditangkap bersama ikan dalam pukat.

“Seramai lima anggota dan pegawai APM Daerah Bagan Datuk terus pergi ke lokasi untuk mengesahkan memang betul terdapat seekor buaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata meskipun pihaknya sedia maklum terdapat buaya di kawasan berkenaan dan kehadiran hidupan liar itu pernah tular di laman sosial sebelum ini, namun setakat ini tiada sebarang kes membabitkan konflik antara haiwan itu dengan manusia.

Mohd Fazly berkata sejurus pihaknya mengesahkan bahawa buaya berkenaan tersangkut pada pukat ikan itu, beliau terus menghubungi Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Teluk Intan untuk tindakan lanjut.

“Buaya itu telah diangkat oleh enam orang, membabitkan anggota APM dan pegawai Perhilitan.

“Pegawai Perhilitan ada memberitahu anggaran panjang buaya betina itu adalah kira-kira 3.048 meter dengan berat antara 60 ke 70 kilogram,” katanya.

Beliau berkata buaya berkenaan kini telah diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.
-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427