Mahkamah Tinggi Syariah tolak tuntutan hadanah bekas suami Datuk Seri Vida

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU, 4 Jan — Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menolak tuntutan hadanah iaitu hak lawatan, bermesra dan bermalam oleh bekas suami Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida, 50, terhadap dua anak mereka Nur Edlynn Zamilleen, 16, atau lebih dikenali Cik B dan Muhammad Eric Zecquan, 14 atau dikenali sebagai Kacak.

Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty bagaimanapun mengarahkan Cik B dan Kacak agar menghubungi bapa mereka Mohd Amin Yasin, 43, sekurangnya sebulan sekali bagi mengelakkan ikatan silarutahim antara anak dan bapa terputus.

Mahkamah turut memberikan hak kepada kedua-dua beradik itu untuk membuat keputusan bertemu bapa mereka sekiranya sudah bersedia serta memerintahkan Dr Vida supaya tidak menghalang Cik B atau Kacak  untuk bertemu ayah mereka.

Pada prosiding itu, Dr Vida diwakili peguamnya Nurul Shuhada Ab Aziz sementara Mohd. Amin diwakili peguam Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.

 

Selain Cik B dan Kacak, Mohd Amin yang berkahwin dengan Dr Vida pada 2000 turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie, bagaimanapun kedua-dua mereka yang ketika itu berusia 11 dan 10 tahun meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di rumah Dr Vida di Meru Hill, Ipoh pada 2013.

Mohd Amin bercerai dengan Dr Vida pada 2008 iaitu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Sementara itu di luar mahkamah, Dr Vida melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah itu.

“Alhamdulillah, saya lega kes sudah diputuskan dan selepas ini terpulang kepada Cik B dan Kacak untuk menghubungi ayah mereka apabila sudah bersedia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amin ketika ditemui berkata, beliau berlapang dada menerima keputusan mahkamah itu dan sedia menunggu dua anaknya itu untuk menghubunginya sebaik mereka bersedia berbuat demikian.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427