Mahkamah tetapkan 17 Januari dengar permohonan interim difailkan isteri kedua Samy Vellu

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH: Wanita yang mengakui isteri kedua Tun S Samy Vellu, mendakwa keadaan suaminya itu baik dan mahu menemuinya.

E Meeriam Rosaline mendakwa kali terakhir bertemu Samy Vellu di sebuah restoran di ibu negara pada Jun lalu dan ketika itu bekas Menteri Kerja Raya itu memberitahunya supaya tidak bimbang dan semua urusan akan berjalan seperti biasa.

“Saya hanya mahu berjumpa dengan suami saya kerana sebelum ini saya boleh bertemu dengannya. Saya mahu suami menjaga saya sebagaimana janjinya sebelum ini,” katanya yang ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini sepatutnya mendengar permohonan interim difailkan Meeriam Rosaline selepas beliau tidak dibenarkan bertemu dengan bekas Presiden MIC itu dan tidak lagi dibayar nafkah sebanyak RM25,000 sebulan seperti mana sebelum ini.

Permohonan berkenaan difailkan pada Mac lalu dan hari ini, ia didengar di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Hashim Hamzah, yang menetapkan 17 Januari ini bagi pendengaran permohonan interim difailkan Meeriam Rosaline yang diwakili peguam RSN Rayer.

Sementara itu, Rayer berkata pihaknya sepatutnya memfailkan permohonan interim mengekalkan pembayaran nafkah ke atas anak guamnya.

Bagaimanapun katanya, ia ditangguhkan kerana mahkamah mahu mendengar keputusan permohonan saman yang difailkan oleh anak lelaki Samy Vellu, Datuk Seri S Vell Paari yang dijadualkan pada 17 Disember ini.

Vell Paari memfailkan saman pemula terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada bekas Menteri Kerja Raya itu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan hal ehwal dirinya didengar terlebih dahulu.

Rayer berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Januari ini bagi pendengaran permohonan interim difailkan anak guamnya.

Ditanya status anak guamnya, Rayer berkata beliau difahamkan perkahwinan anak guamnya dengan Samy Vellu adalah sah dan ia diadakan secara tradisi pada 1981 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Katanya, sejak itu Samy Vellu sudah menyara serta tinggal bersama anak guamnya sebagai suami isteri. -Bharian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427