Luqman sedia pindah kelab lagi

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin memberi bayangan dia mungkin berpindah ke pasukan lain musim depan.

Pemain KV Kortrijk itu bagaimanapun menjelaskan perpindahannya mungkin sebagai pemain pinjaman kerana masih mempunyai bagi kontrak setahun bersama kelab Belgium itu.

Ketika ditanya mengenai spekulasi perpindahan ke Liga Malaysia (Liga-M), Luqman enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Sebelum ini dari KV Kortrijk pergi ke Iceland. Selepas kelayakan Piala Asia (B-23) saya terus balik ke KV Kortrijk dan sekarang ini saya bersama mereka.

“Saya masih bermain dengan KV Kortrijk, perancangan saya setakat ini bersama KV Kortrijk. Tetapi, insya-Allah dalam Januari nanti ada perubahan.

“Saya tengah fikir lagi. Sebab saya masih ada satu tahun lagi, ada masa lagi saya untuk dipinjamkan. Jadi kalau saya pergi mana-mana pasukan pun sebagai pemain pinjaman,” katanya.

Luqman berkata demikian ketika ditemui media sebelum berlepas bersama skuad B-23 tahun negara ke Shanghai, China bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang skuad B-23 China pada Sabtu dan Selasa ini.

Mengulas mengenai skuad B-23, Luqman mengakui persiapan yang dilakukan bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 berada pada tahap terbaik.

Malah, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 21 tahun itu menyifatkan aksi berdepan China B-23 sebagai ujian yang bagus buat Harimau Malaya B-23 sebelum ke Qatar, April depan.

“Semua pemain faham apa yang jurulatih mahukan dan beliau (jurulatih) bagi kami faham taktikal yang beliau nak pemain gunakan.

“Sebelum ini juga kami tak pernah lawan China, kami jangka mereka pasukan yang bagus dan ini satu pendedahan terbaik untuk ke Piala Asia B-23,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427