Luqman, Mohd Aiman bantu Malaysia belasah Brunei 11-0

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Penyerang muda sensasi kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin dan Mohd Aiman Afif Md Afizul masing-masing mempamerkan sentuhan berbisa, apabila membantu Malaysia berpesta gol membelasah Brunei 11-0 pada aksi Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020, malam ini.

Luqman meledak empat gol, dengan tiga gol pertama dihasilkan dalam tempoh empat minit, sementara Mohd Aiman menjaringkan hatrik untuk melengkapkan malam gemilang skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara.

Kemenangan kedua selepas kejayaan menewaskan Kemboja 5-4, Sabtu lepas, membolehkan skuad bimbingan ketua jurulatih sementara, Brad Maloney terus berada di landasan tepat untuk memburu tiket ke pusingan akhir kejohanan berkenaan di Uzbekistan, pada Oktober 2020.

Malaysia kini berada di kedudukan kedua, berkongsi enam mata bersama pendahulu Thailand selepas dua perlawanan dan perlu meneruskan momentum kemenangan ke atas Kepulauan Mariana Utara dan Thailand dalam baki dua perlawanan terakhir, untuk mengesahkan slot automatik selaku juara Kumpulan G.

Pada aksi di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh malam ini, pesta gol Malaysia bermula pada minit ke-17 menerusi jaringan Muhammad Azrin Afiq Rusmini sebelum Luqman menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-21 diikuti dua gol masing-masing pada minit ke-22 dan ke-24.

Mendahului 4-0, Malaysia terus ghairah memburu jaringan apabila menyumbat tiga gol masing-masing dijaringkan Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-31, Muhammad Aiman (minit ke-39) dan Luqman (minit ke-41) untuk selesa mendahului 7-0 pada separuh masa pertama.

Brunei yang sebelum ini turut dibelasah Thailand 9-0 dan Kemboja 8-0 terus tertekan di separuh masa kedua dan kesempatan itu digunakan Malaysia untuk menambah empat gol bagi melengkapkan kemenangan besar.

Empat gol pada babak kedua masing-masing dijaringkan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-59, Muhammad Azam (minit ke-60) dan Muhammad Aiman melengkapkan hatriknya menerusi jaringan pada minit ke-85 dan ke-90.

Dalam aksi berasingan, Thailand mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan G dengan mencatat kemenangan luar biasa 21-0 ke atas Kepualuan Mariana Utara.

Malaysia akan meneruskan saingan berdepan Kepulauan Mariana Utara pada Jumaat, sebelum menamatkan kempen kelayakan bertemu Thailand pada Ahad.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427