LTdL 2024 terjejas angkara hutang

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) gusar Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 mungkin digugurkan daripada kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekiranya isu bebanan hutang yang berjumlah melebihi RM2 juta tidak dapat diselesaikan.

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab mendakwa, penganjuran LTdL 2023 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 September ini mungkin kehilangan status ProSeries serta pembabitan tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam) sekiranya masalah itu tidak diselesaikan oleh penganjur kali ini, Majlis Sukan Negara (MSN) dengan usaha sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pada edisi tahun lalu di bawah penganjuran Human Voyage (HV), Abu Samah memaklumkan terdapat lima pasukan membuat laporan kepada UCI atas alasan tidak dibayar yuran penampilan seperti dijanjikan.

Abu Samah mendakwa, penganjur HV juga masih berhutang dengan pasukan berkenaan melebihi RM1 juta membabitkan yuran penampilan.

“Kalau nak ikutkan perlumbaan tahun lalu berjalan dengan baik,” kata Abu Samah kepada media selepas Majlis Pelancaran LTdL 2023 yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sini, hari ini.

“Tapi masalah yang timbul adalah dari segi hubungan antara pasukan dan penganjuran edisi lalu yang menimbulkan masalah dan hingga kini masih belum diselesaikan.

“Isu paling besar adalah saya rasa jika kita tak dapat atasi masalah hutang itu tahun ini, berkemungkinan besar UCI tidak lagi akan mendaftarkan LTdL dalam kalendar.

“Sebabnya pasukan akan tanya apa jaminan untuk mereka kali ini supaya perkara lalu tak berulang, jadi kita doakan perkara ini dapat diatasi,” tambahnya.

Sebelum ini, HV diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menganjurkan perlumbaan LTdL dari 2019 hingga 2021 dan ia dilanjutkan sehingga tahun lalu selepas penganjuran edisi 2021 terpaksa ditunda susulan pandemik COVID-19.

Untuk rekod, HV sebelum ini pernah diberikan kepercayaan untuk menganjurkan LTdL dengan pertama kalinya pada edisi ke-20 pada 2015.

Dalam pada itu, Abu Samah turut mencadangkan supaya KBS tidak menyerahkan baki wang yang belum dituntut HV sebanyak RM1.1 juta dan wang bon RM400,000 kepada syarikat pengurusan acara berkenaan supaya dapat dibayar secara terus kepada pasukan yang membuat tuntutan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427