KUALA LUMPUR- Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan penyertaan pasukan Jelajah Dunia dalam edisi 2020.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Mustafa berkata selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan tarikh itu dalam kalendar mereka, pihak penganjur menerima respons yang menggalakkan daripada pasukan berkenaan.
Beliau berkata penganjur mencadangkan tarikh itu kepada UCI selepas mengambil kira dua perlumbaan awal dalam kalendar jelajah dunia iaitu Tour Down Under dan perlumbaan sehari Cadel Evans di Australia.
“Alasannya kami memilih tarikh itu, jadi kami mempunyai lebih peluang untuk mendapatkan pasukan Jelajah Dunia. Kami hanya bertindih dengan perlumbaan baharu di Arab Saudi tetapi kami optimis akan mendapat pasukan Jelajah Dunia.
“Pada mulanya UCI menetapkan tarikh 15-22 Mac tetapi apabila kami meletakkan pemberitahuan pada 7-14 Feb, kami telah berbincang dengan kira-kira lapan pasukan Jelajah Dunia sekarang. Kami tidak risau tentang pasukan pro Benua atau pasukan Benua dan pro Jelajah Dunia, kami telah berbincang dengan Bahrain, UAE International. Kami sedang melihat beberapa pasukan – Pasukan Ineos dan Astana tetapi masih dalam peringkat rundingan,” katanya selepas pelancaran rasmi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Perlumbaan berbasikal terbesar Asia itu telah dinaik taraf sebagai perlumbaan Siri Profesional (ProSeries) membabitkan lapan peringkat perlumbaan dijadualkan dari 7 hingga 14 Feb meliputi jarak keseluruhan 1,095.7km merentasi sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Sempena ulang tahun ke-25, LTdL buat julung kalinya akan menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa iaitu sebelum perlumbaan dan Klasik Malaysia akan berlangsung selepas perlumbaan.
Kriterium Antarabangsa akan berlangsung pada 6 Feb di Kota Kinabalu, Sabah dan Klasik Malaysia dianjurkan di Langkawi pada 15 Feb, bagi memeriahkan lagi acara sebelum dan selepas perlumbaan itu dan nilai tambah kepada penonton, peminat basikal dan penaja.- BERNAMA