Lopez memukau, Barca kekal rekod sempurna

Estimate Reading Time: < 1 minute

BARCELONA, Sepanyol: Barcelona meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Juara-Juara dan memanaskan badan menjelang pertembungan Clasico hujung minggu ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Shakhtar Donetsk awal pagi tadi.

Juara Sepanyol itu menangani cabaran kelab pelawat dari Ukraine untuk meraih kemenangan ketiga dalam tiga perlawanan dan semakin hampir memastikan langkahan ke peringkat kalah mati sesudah gagal mara dalam dua musim terakhir.

Ferran Torres membuka tirai jaringan buat Barca pada minit ke-28 manakala pemain tengah berusia 20 tahun, Fermin Lopez merembat masuk gol kedua dari penjuru kotak penalti lapan minit kemudian.

Heorhiy Sudakov membalas satu gol buat Shakhtar susulan kealpaan benteng Barca pada minit ke-62 tetapi mereka berjaya mempertahankan kedudukan itu untuk memastikan tiga mata.

Selepas pemain berusia 17 tahun, Marc Guiu meledak gol kemenangan menentang Athletic Bilbao hujung minggu lalu, persembahan Lopez bermakna satu lagi malam mengagumkan daripada bakat baharu dari akademi terkenal Barcelona, La Masia.

“Dia seorang pemain bola sepak yang dinamik,” kata jurulatih Barca, Xavi Hernandez.

“Sikapnya amat menakjubkan, dia mahu belajar, dia mahu meningkat.”

Jurulatih itu berkata, Lopez mungkin antara beberapa bakat baharu yang sedia mengetuk pintu pasukan utama dan mengekalkan tempat mereka.

“Saya terlalu gembira dengan persembahan Fermin, dia boleh menjadi pemain penting buat kami dan beraksi bertahun-tahun lamanya,” jelas Xavi.

Lopez pula berkata dia amat bersyukur diberi peluang untuk beraksi bersama kelab gergasi Catalunya itu.

“Anda tidak pernah terfikir perkara ini tetapi saya bekerja keras selama ini dan saya bersyukur kepada Xavi dan kelab kerana memberikan saya peluang, saya perlu terus bekerja keras,” katanya kepada Movistar.

“Kami menang, kami meraih kejayaan yang kami mahukan dan kini boleh memikirkan mengenai Clasico.”
-AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427