KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya untuk melancarkan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka.
LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan itu akan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada.
“Pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka ini juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini.
“Ini merupakan langkah yang tepat dalam usaha kerajaan memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya,” menurut kenyataan itu.
LLM turut berharap pengguna lebuh raya memberikan komitmen dan sokongan berterusan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya bertol dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) Halimi Ibrahim berkata pihaknya sedang membuat perbincangan dengan LLM, Kementerian Kerja Raya dan pihak lain yang berkaitan sebagai persediaan untuk menguji sistem pembayaran tol terbuka.
“Kita akan memastikan sistem ini dapat dilaksanakan pada September nanti seperti yang telah disasar oleh kerajaan. Ini juga adalah bukti komitmen dan usaha gigih Lebuhraya MEX untuk memberi pengalaman pemanduan yang selesa dan selamat kepada pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata penambahan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna lebuh raya itu amat bertepatan untuk memudahkan dan memastikan kecekapan proses pembayaran sekiranya pengguna tidak berkesempatan menambah nilai kad Touch ‘n Go atau Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai laporan trafik melalui akaun Twitter MexTraffic, Facebook MEX Traffic atau MEX Hotline di talian 03-8315 9111. – BERNAMA