Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara 6 tahun, 2 sebatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

Putrajaya: Seorang bekas guru pelatih terpaksa menjalani hukuman penjara enam tahun selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan meliwat seorang murid tahun enam pada 2016.

Mohamad Harman Faiz Hassin, 30, yang dibebaskan dengan ikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai, turut diperintah disebat dua kali.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Mohamad Harman terhadap sabitan kesalahan liwat yang dilakukan di sebuah bilik di asrama institut perguruan di Besut, Terengganu pada kira-kira 1 tengah hari, 17 September 2016.

Hakim berkata Mahkamah Sesyen membuat dapatan yang betul berdasarkan bukti dan sabitan Mohamad Harman bagi kesalahan itu adalah selamat.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan rayuan Mohamad Harman supaya hukuman penjaranya dikurangkan daripada 10 tahun kepada enam tahun.

Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata mahkamah bersetuju untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Mohamad Harman memandangkan perayu (Mohamad Harman) masih muda ketika melakukan kesalahan itu dan juga adalah pesalah pertama.

Kamaludin berkata penjara enam tahun itu juga akan mengambil kira tempoh Mohamad Harman menjalani hukumam penjara sebelum dia diberi jaminan oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

Panel hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan, turut mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen supaya Mohamad Harman menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mohamad Harman bersalah atas tuduhan meliwat murid lelaki berusia 12 tahun ketika itu dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

Dia gagal dalam rayuannya terhadap sabitan di Mahkamah Tinggi namun hukumannya dikurangkan kepada 10 tahun penjara dan dua sebatan. Dia kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Peguam Datuk Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Mohamad Harman memberitahu media bahawa anak guamnya pernah menjalani hukuman penjara kira-kira tiga setengah bulan sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.– Metro

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427