SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas hilang ketika mandi laut bersama rakan di Pulau Carey, Telok Panglima Garang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata mayat pelajar berusia 17 tahun itu ditemui tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.19 malam.
“Siasatan awal mendapati remaja itu ke tempat kejadian bersama enam rakan untuk meraikan hari lahir seorang daripada mereka.
“Remaja itu bersama tiga rakan kemudian ke pantai untuk mandi dan mangsa dikatakan berenang di kawasan alur laut walaupun ditegah oleh rakan.
“Kira-kira lima minit kemudian, mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya, disyaki dibawa arus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 3.15 pagi tadi dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada unsur jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
-BeritaHarian