KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kerugian RM58,800 akibat menjadi mangsa penipuan pelaburan Bitfine yang ditawarkan satu sindiket menerusi aplikasi sembang maya Telegram, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata mangsa, warga tempatan berusia 37 tahun membuat satu laporan polis pada 14 Mei lalu sebaik menyedari wang dilaburkan tidak mendapat pulangan.
Menurut pengadu, dia berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi Telegram pada 17 Mac lalu namun pengadu pada awalnya tidak melayan individu berkenaan.
“Bagaimanapun, pengadu mula berkomunikasi dengan individu terbabit pada 27 April lalu dan berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine.
“Sebaik membuat pelaburan pertama, pengadu menerima pulangan RM543 dan dia mula yakin dengan skim pelaburan terbabit dan mula menambah jumlah pelaburan.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati pengadu membuat pembayaran secara berperingkat antara 27 April hingga 8 Mei lalu membabitkan lapan kali transaksi ke dalam lima akaun bank berlainan berjumlah RM 58,800.
Kes disiasat mengikut Seksyeb 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
“Kita minta orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah penipuan yang menyebabkan ramai mangsa sudah terpedaya.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terbabit dalam sebarang kes penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan membabitkan sindiket seperti ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.
Orang ramai juga boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 berhubung sebarang aktiviti penipuan. – Berita Harian