‘Lega dapat tunai tanggungjawab’

Estimate Reading Time: < 1 minute

PASIR PUTEH: Kira-kira 258 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria menjadi individu pertama membuang undi jam 8 pagi.

Zaizul Rizal, 49 berkata, beliau lega dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dan gembira dengan kehadiran 100 peratus anggotanya yang akan membuang undi secara bergilir sehingga jam 5 petang nanti.

Dalam proses pengundian itu membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Selinsing, Limbongan, Semerak dan Gaal.

Zaizul Rizal berkata, sejak penamaan calon pada 29 Julai lalu sehingga kini, pihaknya menerima dua laporan berkaitan PRN.

Katanya, pihaknya sentiasa melaksanakan tugas pemantauan sejak penamaan calon,sepanjang kempen, hari mengundi awal sehingga hari mengundi pada Sabtu ini.

“Untuk daerah ini secara keseluruhannya, pengundi dan pihak parti mematuhi arahan yang kita keluarkan, kalau ada bendera yang tidak sesuai ditempatkan di sesuatu kawasan, mereka segera alihkan.

“Alhamdulillah, mereka dengar cakap dan mudah untuk kita uruskan,” katanya yang menyeru semua anggota keselamatan melaksanakan tugas mengundi.

Sementara itu, anggota polis Balai Selinsing, Nur Syafika Zulkefly, 22 menjadi anggota termuda membuang undi di IPD berkenaan.

Beliau teruja kerana itu adalah kali pertama dia mengundi dan mendapatkan rujukan rakan-rakan yang lebih senior bagi cara membuang undi.

“Sebagai orang muda, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk memilih pemimpin dan berharap pengundi muda menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya yang berasal dari Kuala Kangsar.

Dia yang berkhidmat di bahagian Bilik Kurungan sejak tiga tahun lalu antara dua daripada lima anggota yang mengundi di DUN Selinsing.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427