Lebih setengah juta daftar suntik vaksin COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sejak pendaftaran vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera semalam, seramai 637,000 individu mendaftar sebagai penerima menerusi medium itu setakat jam 9 malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr A Mahesh berkata, pada masa ini aplikasi berkenaan dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai COVID-19 termasuk program vaksinasi.

“Aplikasi MySejahtera sekarang mempunyai hampir 21 juta pengguna unik dan mereka semua aktif, setiap hari kita rekod hampir 18 hingga 20 juta ‘check-in’. Itu menunjukkan banyak interaksi dan penggunaan MySejahtera dalam kalangan rakyat.

“Buat masa ini kita memang tidak mewajibkan penggunaan MySejahtera tetapi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakannya. Mewajibkan sesuatu bukan selalunya strategi kami, ia datang dengan kesukarelaan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Vaksin COVID-19: Selamat dan Berkesan?’ malam tadi.

Exco Perancangan Strategik, Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim turut menjadi tetamu program itu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program pendaftaran vaksinasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas perdana menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada jam 2.43 petang, sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin itu di negara ini.

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera antara lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline atau hadir di fasiliti klinik kesihatan awam serta dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam pada itu, Dr Mahesh turut memberi jaminan mengenai keselamatan data pengguna MySejahtera memandangkan aplikasi itu di bawah akta penting seperti Akta Perubatan 1971 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, selain turut menjalankan hubungan strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 48 peratus kontak rapat COVID-19 berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427