GUA MUSANG, 15 Mac — Lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5, dekat sini bimbang dengan keselamatan mereka apabila sering terdedah dengan ancaman sekumpulan empat ekor gajah liar yang memusnahkan tanaman sejak, seminggu lepas.
Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata kejadian terbaharu melibatkan kemusnahan tanaman pokok pisang dan getah yang berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi tadi.
“Kejadian pada awal pagi tadi merupakan insiden ke-10 dalam tempoh dua tahun. Pokok pisang baru mengeluarkan hasil dan belum sempat dituai akibat dimusnahkan gajah. Kumpulan gajah ini dilihat berkeliaran dari pukul 11 malam hingga 4 pagi, setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5, di sini, hari ini.
Raina berkata penduduk telah berusaha dengan pelbagai cara bagi menghalau kumpulan gajah liar terbabit termasuk memasang pelita di keliling kebun pisang dan getah, tetapi tidak berkesan.
Seorang penduduk, Alik Along, 56, berkata ancaman gajah liar di kampung itu bukan perkara baharu dan kerana itu, beliau kerap menanggung kerugian apabila puluhan pokok pisangnya dimusnah kumpulan gajah liar berkenaan.
Katanya berikutan ancaman haiwan berkenaan, penduduk yang rata-rata bergantung hidup pada hasil pertanian menjadi serba-salah untuk terus menanam pokok pisang selagi kumpulan gajah liar terbabit tidak dipindahkan.
Menurutnya penduduk kampung itu, sememangnya digalakkan menanam pokok getah dan pisang sebagai sumber pendapatan tetapi mereka sentiasa berdepan kerugian apabila tanaman dimusnahkan gajah.
“Kami memikirkan cara yang lebih berkesan untuk mengatasi ancaman gajah liar supaya dapat memperoleh hasil daripada kebun yang diusahakan,” katanya.
— BERNAMA