Lebih 150 ‘rider’ kemalangan antara Mac-Jun tahun lalu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lebih 150 kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal penghantar makanan direkodkan dari Mac hingga Jun 2020, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihannya, Dr Azlan Darus berkata, pengembangan ekonomi gig dan perkhidmatan e-hailing ketika penularan COVID-19 menyebabkan peningkatan kemalangan membabitkan penunggang e-hailing.

“Jumlahnya terus meningkat dan menjelang hujung tahun ini, semakin banyak kemalangan berlaku, maka atas faktor inilah, isu pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan adalah penting untuk ditangani dari aspek perlindungan dan pencegahan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Keselamatan Jalan Raya Berkaitan Kerja secara maya, hari ini.

Webinar anjuran bersama PERKESO dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ini sebahagian daripada inisiatif badan terbabit di bawah Vision Zero Malaysia.

Azlan berkata, kes kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja pula meningkat hampir 83 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu dari 20,810 kes pada 2009 kepada 38,142 pada 2019 dan jumlah kematian tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian industri pada tahun 2020.

Katanya, kajian sosial PERKESO menunjukkan lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak lima kilometer (km) dari destinasi ke tempat kerja dan 65 peratus kemalangan dalam perjalanan membabitkan orang muda berusia bawah 40 tahun, dengan 80 peratus daripadanya lelaki.

“Sebilangan besar kemalangan berlaku akibat keletihan dan kerana bergegas hendak ke destinasi tepat pada waktunya. Setiap tahun, lebih RM1 bilion pampasan dibayar untuk kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, kesan kemalangan semakin mendalam. Melampaui aspek wang pampasan. Ia mencetuskan kesan psikologi dan sosial dalam kalangan keluarga dan masyarakat di negara ini, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PEKRESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, PERKESO merangka tiga program bersesuaian bagi individu bekerja sendiri sebagai perlindungan sosial di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi negara.

Inisiatif di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 itu adalah PenjanaGig, SPS Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

“Program ini memberi perlindungan kepada individu berinsurans bekerja sendiri daripada kecederaan pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti berkaitan pekerjaan,” katanya. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427