JAKARTA: Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) mendedahkan sehingga semalam, 144 gempa bumi dirasai penduduk sejak gempa bumi magnitud 6.5 menggegarkan Maluku pada 26 September lalu, sementara jumlah gempa susulan adalah 1,044 kali.
Bagaimanapun, gegaran itu menunjukkan penurunan kata Ketua Bahagian Pencegahan Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Daryono dalam sidang media di ibu kota Indonesia semalam.
Beliau berkata, orang awam diharapkan tidak diprovokasi dengan isu tidak benar atau palsu berkaitan kehadiran gempa bumi besar dan tsunami sejak bencana pada 26 September itu.
“Punca gempa bumi adalah akibat perlanggaran garisan gelincir Kairatu dalam bentuk gelincir mendatar dari barat ke timur,” katanya menerusi laporan Antara.
Menurut sejarah di wilayah itu, gempa magnitud 7.8 dan tsunami berlaku pada 30 September 1899, dan rekod BMKG menunjukkan, bencana itu mengorbankan sekitar 4,000 orang.
Menurut Daryono, berdasarkan maklumat itu, penduduk perlu berhati-hati dengan garisan gelincir aktif oleh kerana walaupun gempa dengan magnitud rendah boleh menyebabkan kerosakan kepada bangunan.
Sementara itu, Pusat Arahan Pengurusan Bencana Gempa Bumi Wilayah Maluku berkata, sehingga kelmarin, jumlah mangsa maut akibat gempa itu mencecah 37 orang dengan 36 parah manakala 1,231 cedera ringan selain menyebabkan 111,490 penduduk hilang tempat tinggal. -BHarian