Lawes bersara selepas Piala Dunia Perancis

Estimate Reading Time: < 1 minute

LONDON: Pemain ragbi England, Courtney Lawes berkata dia akan bersara daripada aksi peringkat antarabangsa selepas tamat Piala Dunia di Perancis bagi menumpukan lebih perhatian kepada keluarganya.

Lawes, 34, yang mempunyai 105 kap dan beraksi di empat Piala Dunia, akan tampil buat kali terakhir untuk England pada penentuan tempat ketiga menentang Argentina, Jumaat ini.

“Saya akan bersara selepas Piala Dunia. Anak-anak saya pada peringkat usia yang memerlukan ayah mereka, dan pastinya sangat bagus meluangkan lebih banyak masa bersama mereka” kata penolong kapten England itu.

Lawes adalah pemain kelima negaranya yang mengumpul paling banyak kap.

“Saya belum bercakap dengan jurulatih England, Steve (Borthwick), saya akan memberitahunya.

“Tetapi saya sudah jelaskan hasrat saya kepada rakan yang lain. Saya fikir inilah masanya. Saya beraksi di empat Piala Dunia dan saya gembira dengannya,” katanya.

Lawes yang bakal meneruskan kariernya bersama Northampton Saints, tampil kali pertama ketika menentang Australia pada November 2009 – dalam skuad yang ketika itu diketuai pengurus England sekarang, Borthwick.

– REUTERS

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427