Lantai tingkat 118 menara Merdeka 118 siap

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) melakar satu pencapaian utama bagi projek menara Merdeka 118 apabila menyempurnakan pembinaan lantai terakhir di tingkat 118.

Ia sekali gus menjadikan Merdeka 118 sebagai menara tertinggi di Malaysia.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, apabila siap dibina sepenuhnya pada 2022, menara ini akan mencapai ketinggian 644 meter dan bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara.

“Kami gembira mengumumkan menara Merdeka 118 berjaya menyempurnakan pemasangan lantai terakhir di tingkat 118.

“Ia sangat bermakna kepada kami. Merdeka 118 kini sudah 81 peratus siap dan pemasangan fasad kaca berada di tingkat 108.

“Walaupun terdapat penangguhan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, PNB berpuas hati kerana pembangunan Merdeka 118 berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Merdeka 118 merangkumi tiga juta kaki persegi ruang luas lantai dan terdiri daripada 1.66 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred A serta sejuta kaki persegi ruang niaga.

Beberapa ciri yang mengagumkan dibangunkan di menara ini termasuk dek pemerhatian The View at 118 yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara serta Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas menara.

Dihubungkan secara terus dari menara adalah 118 Mall, pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik. yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka Merdeka Boulevard at 118 seluas empat ekar di samping tiga menara kediaman eksklusif.

Menurutnya, presint Merdeka 118 juga akan menampilkan sebuah muzium tekstil yang mengetengahkan tesktil dunia Melayu, pusat jagaan kanak-kanak serta Masjid Merdeka dengan kapasiti 3,000 jemaah.

Pembangunan Merdeka 118 terletak di kawasan bersejarah Kuala Lumpur dan berdiri teguh di samping dua warisan negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Sebagai pemilik bagi dua stadium ini, PNB melaksanakan penyelenggaraan dan penjagaan yang teliti untuk mengekalkan di samping memulihara warisan sejarah negara yang menjadi lambang keharmonian dan kekayaan sejarah, evolusi serta masa hadapan Malaysia.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427