Laksana subsidi bersasar RON95 berperingkat elak rakyat terbeban

Estimate Reading Time: 3 minutes

Subsidi secara pukal bagi petrol RON95 menjadi isu utama dihadapi kerajaan kerana perbelanjaan besar perlu ditanggung pemerintah, mencecah RM81 bilion pada 2023.

Sebagai langkah mengurangkan beban fiskal negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan melalui Belanjawan 2025 bahawa golongan T15 atau mahakaya bakal dikenakan harga pasaran semasa bagi petrol RON95, manakala 85 peratus rakyat akan terus menikmati harga subsidi RM2.05 per liter.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kemudian menjelaskan pengelasan subsidi ini akan dibuat berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih (NDI) berbanding pendapatan kasar bagi memastikan pengagihan yang lebih tepat.

Kendatipun begitu, usaha ini harus dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan tiada pihak teraniaya. Rentetan cadangan menetapkan ambang pendapatan RM13,000 sebagai syarat kelayakan subsidi juga menimbulkan kebimbangan signifikan, khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, yang diketahui kos sara hidup lebih tinggi berbanding luar bandar.

Perbezaan ketara dalam kos perumahan, pengangkutan, pendidikan dan barangan asas menyebabkan pendapatan isi rumah sama, tidak memberikan kuasa beli setara di antara bandar dan luar bandar.

Keluarga di bandar menghadapi cabaran kewangan lebih besar untuk menampung keperluan asas harian. Sebagai contoh, sebuah keluarga di Kuala Lumpur mungkin perlu memperuntukkan sebahagian besar pendapatan mereka untuk perumahan, biasanya berkali ganda lebih mahal berbanding keluarga di luar bandar.

Selain itu, mereka turut dibebani kos penjagaan anak, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan lebih tinggi. Walaupun pendapatan mereka tampak setanding dengan keluarga di luar bandar, hakikatnya kemampuan mereka untuk menabung, berbelanja atau menampung keperluan harian jauh lebih terhad.

Di bawah sistem semasa, penetapan ambang pendapatan yang sama tanpa mengambil kira perbezaan kos sara hidup ini berisiko menyebabkan keluarga bandar kehilangan akses kepada subsidi sangat diperlukan.

Langkah ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan beban kewangan, tetapi boleh mempertingkat kesenjangan di antara isi rumah di bandar dan luar bandar. Perubahan ini memerlukan perhitungan semula supaya lebih adil dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Isu utama dengan penetapan ambang RM13,000 adalah kesan pemotongan mendadak, iaitu kenaikan pendapatan kecil sekalipun boleh menyebabkan sesebuah keluarga kehilangan subsidi sepenuhnya.

Sistem seperti ini meletakkan beban tidak seimbang kepada mereka yang melebihi ambang pendapatan walaupun sedikit kerana mereka terpaksa menanggung kos sama seperti golongan berpendapatan tinggi meskipun tidak memiliki kemampuan kewangan setara.

Justeru, penyelesaian lebih praktikal adalah melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat. Melalui pendekatan ini, jumlah subsidi dikurangkan secara beransur-ansur selaras dengan peningkatan pendapatan dalam memastikan bantuan tidak dihentikan secara drastik.

Sebagai contoh, isi rumah dengan pendapatan antara RM12,000 hingga RM15,000 masih layak menerima subsidi separa. Langkah sebegini membolehkan peralihan lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko kejutan kewangan kepada keluarga terbabit.

Ambil kira faktor saiz keluarga

Selain itu, cadangan semasa juga mengabaikan faktor saiz keluarga, memainkan peranan penting dalam menentukan kos sara hidup. Isi rumah dengan bilangan tanggungan lebih ramai pastinya berdepan beban kewangan lebih tinggi berbanding isi rumah lebih kecil.

Namun, ambang pendapatan ditetapkan tidak mengambil kira perbezaan ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan dalam pelaksanaan subsidi.

Sebagai contoh, individu bujang dengan pendapatan RM13,000 mempunyai lebihan pendapatan boleh guna jauh lebih besar berbanding sebuah keluarga dengan empat tanggungan yang mungkin perlu menanggung perbelanjaan tambahan, seperti kos rawatan kesihatan anak-anak.

Namun, kedua-dua kategori ini tetap tidak layak menerima subsidi sekiranya pendapatan mereka melebihi RM13,000, tanpa mengambil kira perbezaan keperluan sebenar antara mereka.

Bagi memastikan sistem subsidi lebih adil dan bersasar, ambang pendapatan perlu dirangka berdasarkan saiz isi rumah.

Keluarga dengan lebih ramai tanggungan wajar diberikan had pendapatan lebih tinggi untuk melayakkan mereka menerima subsidi, sejajar dengan beban kewangan tambahan terpaksa mereka tanggung.

Langkah ini bukan sahaja lebih inklusif, tetapi mampu menangani isu ketidaksamaan dalam akses kepada bantuan.

Akhir sekali, kerajaan wajar mempertimbangkan penggunaan data pendapatan masa nyata untuk memastikan sistem subsidi lebih fleksibel dan responsif terhadap perubahan kewangan isi rumah.

Penetapan ambang pendapatan statik seperti RM13,000 tidak mengambil kira turun naik pendapatan mungkin berlaku akibat pengangguran, krisis kesihatan atau kesulitan kewangan lain.

Keadaan ini berisiko menyebabkan keluarga terlepas daripada bantuan pada saat mereka paling memerlukannya. Memanfaatkan data pendapatan masa nyata, kerajaan boleh menyesuaikan kelayakan subsidi berdasarkan keadaan kewangan semasa isi rumah.

Sebagai contoh, integrasi sistem subsidi dengan platform MyKad dapat menyediakan penilaian pendapatan lebih tepat dan terkini, memastikan bantuan diberikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

Pendekatan ini terbukti berkesan melalui sistem Aadhaar di India, yang menggunakan teknologi digital untuk menyampaikan bantuan secara lebih cekap.

Malaysia, dengan infrastruktur digital seperti MyKad, berada dalam kedudukan baik untuk melaksanakan sistem serupa, mampu meningkatkan keberkesanan dan ketelusan agihan subsidi.

Apabila Malaysia memperkenalkan sistem harga dua tahap bagi RON95, penting untuk menilai semula dan menyesuaikan ambang pendapatan RM13,000 supaya mencerminkan realiti dan bebanan kewangan isi rumah berbeza-beza.

Langkah ini boleh disokong dengan pendekatan seperti pengurangan subsidi secara bertahap, penyesuaian mengikut saiz keluarga dan penggunaan data masa nyata untuk memastikan ketepatan dalam pelaksanaan.

Matlamat utama adalah memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa membebankan isi rumah di ambang kelayakan.

Menerusi pelaksanaan pembaharuan ini, Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan fiskal secara berkesan, tetapi memperkukuh prinsip keadilan sosial, memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dan keupayaan negara.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427