Label “Tiada Minyak Sawit” pada produk masih terdapat di pasar raya – DARE

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Label “Tiada Minyak Sawit” masih muncul di sebilangan pasar raya tempatan walaupun terdapat larangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], demikian mengikut Datametrics Research & Information Centre (DARE).

Susulan itu, DARE menggesa dialog awam yang mantap dan bermaklumat mengenai kesan ekonomi dan alam sekitar terhadap pengeluaran minyak sawit di Malaysia, bagi mencabar kesimpulan sewenang-wenang yang dibuat terhadap industri, terutamanya daripada media Barat yang membawa propaganda pelobi anti-minyak sawit.

Walaupun terdapat peruntukkan jelas Akta mengenai pelanggaran yang boleh membawa kepada denda RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya, label produk ini terus muncul di rak pasar raya.

DARE percaya bahawa maklumat salah mengenai minyak sawit membawa akibat yang serius kepada pekebun kecil Malaysia dan pasaran antarabangsa.

Malahan katanya, isu ini adalah label mengelirukan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tempatan tetapi juga menjejaskan talian hayat ekonomi yang penting kepada berjuta-juta rakyat Malaysia yang terbabit dalam industri minyak sawit.

“Minyak sawit adalah asas kepada ekonomi Malaysia, menyumbang hampir RM138 bilion kepada nilai eksport kita pada tahun lepas sahaja.

“Adalah penting untuk mengiktiraf bukan sahaja ekonomi tetapi juga kemajuan mampan yang dicapai oleh industri, walaupun label ‘Tiada Minyak Sawit’ mengelirukan yang bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan negara,” kata Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar.

Menekankan kepentingan minyak sawit dalam memberi makan kepada populasi global yang semakin meningkat, DARE menyatakan bahawa minyak sawit menduduki hanya 0.5 peratus daripada tanah pertanian global yang digunakan untuk penanaman minyak sayuran, tetapi menyumbang lebih 54 peratus daripada eksport minyak dan lemak yang boleh dimakan global.

Tambahan pula, DARE juga menekankan kemajuan Malaysia dalam amalan mampan, seperti yang dibuktikan oleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang memastikan kebolehkesanan rantaian bekalan penuh dan pematuhan kepada piawaian pengauditan yang ketat.

DARE menggesa pihak berkepentingan dan pengguna untuk mengiktiraf peranan skim pensijilan tempatan seperti MSPO dalam menyokong usaha wajar dan mitigasi risiko dalam rantaian bekalan minyak sawit. Organisasi ini menyokong naratif yang mencerminkan piawaian kemampanan yang tinggi dan usaha pemerkasaan komuniti dalam industri.

“Salah tanggapan mengenai minyak sawit bukan sahaja mengancam ekonomi Malaysia tetapi juga menjejaskan usaha global dalam mempromosikan amalan pertanian yang beretika dan mesra alam.

“Sudah tiba masanya untuk perbincangan kolaboratif dan bermaklumat yang mengiktiraf kemajuan sebenar yang dicapai dalam industri minyak sawit.” kata Pankaj.

Masa depan minyak sawit, menurut pusat penyelidikan itu, bergantung kepada pembuat keputusan yang bermaklumat dan dialog saksama yang menegakkan keadilan, kemampanan dan kemakmuran untuk semua yang terbabit.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427