KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan merancakkan usaha untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka serta melebarkan jaringan keselamatan sosial dengan bekerja lebih rapat dengan kerajaan serta agensi yang terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata usaha itu adalah seiring dengan pembukaan semula ekonomi Malaysia yang dijangka dapat menyokong pemulihan beransur-ansur sehingga 2022.
“Salah satu daripada inisiatif utama bagi KWSP pada 2022 adalah untuk mengemaskini mandat kami agar relevan kepada lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal serta pekerja kontrak untuk perkhidmatan yang kini merangkumi majoriti tenaga kerja negara.
“Ini penting kerana kami ingin memastikan mereka mendapat akses kepada taraf hidup minimum, walaupun dalam suasana yang tidak dijangka,” katanya dalam satu kenyataan.
Amir Hamzah berkata, usaha pemulihan pasca pandemik terus berkembang pada kadar yang perlahan, walaupun kebimbangan sekitar polisi monetari dan inflasi masih kekal.
Katanya, risiko kepada perkembangan ekonomi Malaysia dilihat lebih cenderung kepada penurunan pada faktor luaran dan dalaman berikutan keresahan COVID-19 yang masih berterusan.
“Kewujudan varian baharu virus COVID-19 yang kalis vaksin adalah salah satu daripada risiko utama yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasaran. Kebimbangan terhadap pengetatan polisi monetari akan terus menyebabkan ketidakpastian dan ketidaktentuan pada kedua-dua pasaran ekuiti dan bon.
“Walaupun dalam suasana yang mencabar dan tidak dijangka, KWSP mengharapkan sentimen pasaran akan bertambah baik pada masa hadapan yang terdekat. Sebagai dana jangka panjang, kami menangani ketidaktentuan, di samping mengambil kesempatan daripada kemerosotan dalam penilaian aset yang pada asasnya kukuh,” katanya.
-BH