KWSP akui ada transaksi tidak sah i-Lestari

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesan transaksi tidak sah permohonan pengeluaran tabungan melalui skim i-Lestari yang dilakukan individu lain, menggunakan akaun ahli.

Perkara itu dikenal pasti susulan siasatan dalaman yang dilakukan selepas seorang pengurus syarikat mendedahkan berlaku transaksi pengeluaran daripada akaun simpanan melalui skim itu, sedangkan tiada permohonan dibuatnya.

KWSP dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan menerusi siasatan yang dijalankan, mendapati ahlinya itu memang tidak membuat permohonan i-Lestari dan transaksi itu diklasifikasikan sebagai tidak sah.

“Tindakan pembatalan permohonan itu sudah dilakukan dan pemulihan akaun saudara Muammar Gadafi Othman sedang dijalankan.

 

“KWSP memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh saudara Muammar dan kami sudah berhubung dengan beliau untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan, KWSP juga mengucapkan terima kasih kerana pendedahan itu membawa perhatian mereka terhadap kes berkenaan.

“Berikutan kes ini serta sebilangan kes berbaur penipuan oleh ‘scammer’ yang masih berlaku dalam kalangan ahli, KWSP menasihat ahli supaya sentiasa peka dengan aktiviti akaun, terutamanya transaksi yang meragukan.

“Untuk memudahkan ahli menyemak aktiviti akaun, ahli dinasihatkan untuk mendaftar i-Akaun untuk semakan berkala,” katanya.

Menurut kenyataan itu, aduan boleh diajukan kepada Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di talian 03- 89226000 dari jam 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat atau melalui laporan secara dalam talian di laman web KWSP di http://enquiry.kwsp.gov.my.

Terdahulu, BH menerusi berita bertajuk ‘Pengurus syarikat kesan pengeluaran i-Lestari pihak tidak dikenal’ yang disiarkan pada 14 Februari lalu, Muammar mendakwa berlaku transaksi mencurigakan dalam akaun KWSP miliknya.

Muammar, 43, awalnya tidak menyedari mengenai pengeluaran berkenaan sehinggalah mahu mengeluarkan wang dalam akaun terbabit, pada November tahun lalu.

Katanya, pada ketika itu, beliau menyedari ada permohonan pengeluaran i-Lestari setiap bulan daripada November hingga Mac 2021 untuk dikreditkan terus ke satu akaun lain.

“Saya nampak ada nombor akaun lain tertera, namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum menukar kembali ke nombor akaun saya.

“Saya sekali lagi memeriksa akaun KWSP hari ini (14 Februari) dan mendapati individu terbabit berjaya mengeluarkan RM500 daripada akaun saya, pada 17 November lalu secara cek bank,” katanya.

Beliau kemudian meminta isterinya turut memeriksa akaun KWSP dan mendapati berlaku pengeluaran i-Lestari oleh individu lain. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427