Krisis reda di Moscow, namun kewibawaan Putin tercabar

Estimate Reading Time: 2 minutes

RUSSIA: Tentera upahan Russia, kumpulan Wagner, yang lengkap bersenjata dilihat sudah hampir selesai berundur dari bandar Rostov di selatan Russia selepas bersetuju berundur dari Moscow.

Walaupun krisis dianggap sudah reda tanpa pertumpahan darah, persoalan tetap timbul mengenai cengkaman Presiden Russia, Vladimir Putin, terhadap tenteranya, yang sebelum ini dianggap amat kukuh.

Selepas mengakhiri pemberontakan jangka pendek, pejuang Wagner kembali ke pangkalan semalam demi keselamatan mereka.

Komander Wagner, Yevgeny Prigozhin, berkata mereka akan berpindah ke Belarus di bawah perjanjian bersama diselaraskan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata pergolakan di Russia mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan, manakala Menteri Luar Itali pula berkata pemberontakan itu menghancurkan ‘mitos’ perpaduan di negara berkenan.

Putin tidak mengulas secara terbuka sejak perjanjian itu dilaksanakan, bagi meredakan salah satu daripada cabaran terbesarnya sejak pentadbiran lebih dua dekad lalu.

Dalam petikan wawancara di televisyen kerajaan semalam, Putin berkata beliau memberi keutamaan kepada konflik di Ukraine, namun kenyataan itu didakwa dirakam sebelum berlakunya pemberontakan berkenaan dan tidak merujuk pada kes Sabtu lalu.

Televisyen rasmi negara berkata Putin akan menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Russia minggu depan, tanpa sebarang butiran lanjut, dan agensi berita Belta Belarus berkata Putin dan Lukashenko akan bercakap semula pada Ahad, selepas dua panggilan dilakukan pada hari Sabtu.

Prigozhin, 62, dilihat meninggalkan ibu pejabat tentera di daerah Rostov, ratusan batu di selatan Moscow lewat kelmarin dengan menaiki kenderaan utiliti sukan dan keberadaannya semalam tidak diketahui.
Menurut laporan awal, kumpulan tentera upahan Wagner yang dalam perjalanan ke Moscow untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Putin ‘menukar fikiran’ dengan membatalkan hasrat itu bagi mengelakkan pertumpahan darah.

Ketua mereka, Prigozhin, yang juga bekas sekutu Putin dan pengasas tentera Wagner, berkata anggotanya sudah berada kira-kira 200 kilometer dari Moscow kelmarin sebelum membuat keputusan menghentikan kemaraan.

Terdahulu, Moscow menempatkan pasukan tenteranya sebagai persediaan menghadapi ketibaan tentera Wagner, selain mengarahkan semua penduduk duduk dalam rumah.

Tentera Wagner menguasai bandar Rostov yang terletak ratusan kilometer ke selatan Russia sebelum melakukan konvoi dan memindahkan semua kereta kebal serta kenderaan berperisai menuju ke Moscow.

Dalam pada itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata di bawah perjanjian yang diuruskan oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, kes jenayah terhadap Prigozhin kerana melakukan pemberontakan bersenjata akan digugurkan.

Kemudian, Prigozhin akan berpindah ke Belarus dan tentera Wagner yang menyertai rancangannya tidak akan dikenakan sebarang tindakan dari Russia.

Peskov, yang turut menyifatkan peristiwa itu sebagai ‘tragik’, memberitahu Lukashenko menawarkan diri untuk menjadi orang tengah, dengan persetujuan Putin kerana beliau sudah mengenali Prigozhin secara peribadi sejak 20 tahun lalu.

Jelas Peskov, perjanjian tersebut juga dilihat menjadi ‘langkah terbaik’ untuk mengelakkan konfrontasi dan pertumpahan darah antara tentera Wagner dan Russia.

Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan sama ada Putin membuat sebarang tawaran kepada Prigozhin, selain menjamin keselamatannya selepas bersetuju mengundurkan semua tenteranya.

Selain itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan peristiwa yang berlaku secara tidak langsung menunjukkan ‘Russia sebenarnya tidak mampu mengawal semua perkara’.

“Hari ini, dunia boleh melihat sebenarnya Russia tidak mampu mengawal semua perkara yang mereka ingini.

“Russia sendiri tidak dapat mengagak apa yang akan berlaku dan bagaimana mereka akan hadapinya,” katanya.

– REUTERS

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427