LANGKAWI- Krew sebuah feri penumpang menyelamatkan seorang lelaki yang ditemukan hanyut berhampiran perairan Pulau Tuba di sini pagi tadi.
Kapten Star City 6, Ling Heng Teck berkata ketika kejadian feri yang membawa 351 orang penumpang itu dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuala Kedah ke pulau ini sebelum beliau ternampak satu objek terapung di perairan Langkawi berdekatan Pulau Tuba.
“Setelah menghampiri ternyata objek itu ialah manusia dan saya mengarahkan krew mengangkat naik lelaki itu yang dalam keadaan lemah ke atas feri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Penolong Pengarah, Pejabat Laut Kuah, Langkawi Ghazali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti lelaki itu serta punca kejadian.- BERNAMA