KPM sedia kaji syor pemilihan pengawas melalui sistem pilihan raya

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia untuk meneliti syor pemilihan pengawas di peringkat sekolah menengah dibuat menerusi sistem pilihan raya.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, turut menyifatkan syor berkenaan sebagai antara usaha memperkasakan pendidikan literasi politik, selari pelaksanaan Undi 18 ketika ini.

“Cadangan ini akan diambil kira dan ia sangat baik. KPM akan mengkajinya dan terima kasih,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Makhota) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin mencadangkan KPM mengkaji kesesuaian pemilihan pengawas di peringkat sekolah menengah dipilih menerusi pilihan raya sebagai persediaan dan pendedahan kepada sistem pengundian.

Terdahulu, Hui Ying ketika menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengetengahkan literasi politik dan kenegaraan kepada murid sekolah rendah dan menengah sebagai persediaan untuk mengundi sejurus meninggalkan alam persekolahan.

Beliau berkata, pemerkasaan pendidikan politik turut disokong aktiviti kokurikulum serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas, selain bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam memantapkan pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan Undi 18.

Katanya, KPM percaya penerapan kemahiran insaniah perlu dilaksana secara berterusan bagi membantu perkembangan potensi diri yang holistik, sekali gus mampu membantu seseorang menerajui perubahan dan pembangunan global.

“Melalui inisiatif ini, KPM sudah melaksanakan program Kem Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia membabitkan murid lepas menengah.

“Ia bertujuan membentuk individu berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berdaya saing tinggi serta dapat menyuntik semangat dan keyakinan diri murid untuk merealisasikan matlamat KPM bagi melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC),” katanya.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, beliau juga yakin kandungan kurikulum dan kokurikulum berkaitan literasi politik dan kenegaraan KPM dapat mempersiapkan murid melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, kurikulum Sejarah memberi fokus kepada pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan dengan pendidikan politik dan kenegaraan, bertujuan membina karakter supaya murid boleh berfikir dan bertindak dalam mentafsir sesuatu isu dan peristiwa serta membuat keputusan rasional.

“Murid juga dapat memahami dan menghayati kepentingan pendidikan politik serta tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara dengan komponen itu disusun mengikut tema dan tajuk khusus serta sisipan secara kronologi berkaitan pendidikan politik.

“Di peringkat sekolah rendah, pendidikan politik dipelajari secara sisipan melalui tema ‘Sejarah Awal Negara, Kedaulatan Negara dan Kemakmuran Negara Kita’ yang menerangkan latar belakang, perkembangan dan peristiwa berkaitan pendidikan politik dalam subjek Sejarah.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, pendidikan politik dihuraikan secara sisipan di bawah tema ‘Sejarah Kita dan Dunia, Warisan Negara, Kedatangan Kuasa Asing, Pembinaan Negara, Malaysia dan Masa Hadapan’.

“Melalui tema ini, murid memahami kepentingan memperkukuh pengetahuan dan kefahaman pendidikan politik bagi mempersiapkan diri untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Bagi murid Tingkatan Enam, pendidikan politik dipelajari melalui subjek Pengajian Am dan Sejarah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427