KPDNHEP keluarkan RM2.66 juta kompaun bagi 496 kes

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Sejumlah RM2.66 juta kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun sehingga kelmarin.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata jumlah kompaun itu membabitkan 496 kes yang dikenakan ke atas syarikat dan individu.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu hasil pemeriksaan di 57,761 premis di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

“KPDNHEP antara agensi diberi kuasa bagi menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Justeru, tindakan tegas akan diambil termasuk mengenakan kompaun ke atas mana-mana syarikat dan individu yang melanggar pematuhan SOP.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 194 aduan diterima daripada orang awam mulai 1 Jun hingga 3 Julai lalu dan semuanya disiasat sepanjang tempoh PKP 3.0 ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Azman mengadakan lawatan kerja di Rompin termasuk melakukan pemeriksaan barang keperluan di beberapa pasar raya di Rompin.

Bagi memastikan SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran dilaksanakan dengan efektif, beliau berkata, kementerian itu menggerakkan 2,262 pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara.

Katanya, langkah itu untuk memastikan SOP ditetapkan dipatuhi membabitkan semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.

“Pemilik premis perniagaan perlu sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara, selain tidak mewujudkan kluster baharu COVID-19 di bawah sektor perdagangan pengedaran.

“Kerjasama semua pihak dalam sektor perdagangan pengedaran perlu diperkukuh untuk mengimbangi kelangsungan ekonomi domestik negara dan mengawal penularan COVID-19 serta memastikan kesihatan rakyat terus terjamin,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427