SEOUL: Media Korea Utara hari ini memaklumkan bahawa peluru berpandu Pyongyang yang dilancarkan semalam adalah peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu dinamakan Hwasong-19 dan ia adalah versi yang lengkap sepenuhnya.
Korea Utara menjalankan ujian ICBM paling lama tatkala Korea Selatan memberi amaran bahawa Pyongyang boleh mendapatkan teknologi peluru berpandu dari Russia sebagai pertukaran susulan kerahan tenteranya untuk membantu perang di Ukraine.
Menurut laporan media kerajaan KCNA, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dipetik sebagai berkata, pelancaran peluru berpandu itu adalah satu kejayaan yang jelas dengan kedudukan hegemoni negaranya bagi pembangunan nuklear adalah terjamin.
Menurut laporan KCNA, peluru berpandu itu terbang sejauh 1,001.2 kilometer (km) selama 5,156 saat sebelum mendarat di laut dekat luar pantai timur Semenanjung Korea.
Tambahnya, ia merekodkan altitud puncak maksimum 7,687.5km.
Pelancaran peluru berpandu itu dikecam Korea Selatan, Jepun dan AS di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa yang terus meningkat mengenai Korea Utara yang dilaporkan menghantar beribu-ribu tentera ke Russia bagi membantu perang Moscow di Ukraine.
-REUTERS
-BeritaHarian