Kontinjen para negara makin lapar pingat

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU: Kontinjen Malaysia sudah mula mengorak langkah ke depan menerusi kejayaan merangkul tiga pingat emas, empat perak dan tiga gangsa selepas berakhir saingan hari kedua temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022, semalam.

Pencapaian itu menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat kontinjen negara kepada empat emas, enam perak dan enam gangsa, sekali gus membolehkan mereka menghuni kedudukan kelapan.

Pingat emas kedua negara mula dituai menerusi kem berbasikal trek menerusi Nur Suraiya Muhamad Zamri dalam acara 1,000 meter ujian masa wanita B (masalah penglihatan) di Velodrom Pusat Sukan Chun’ An Jieshou.

Dua pingat perak kemudian mengiringi kejayaan emas itu masing-masing menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dalam acara sama, diikuti Mohd Khairul Hazwan Wahab dalam acara 1,000m ujian masa lelaki B.
Kem olahraga yang sinonim dengan istilah ‘lubuk emas’ pula cemerlang menyumbang dua emas, dua perak dan satu gangsa di Stadium Pusat Sukan Huanglong.

Dua emas masing-masing hadir menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dan Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual).

Pingat perak kemudian ditambah Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal) diikuti Mohammad Aliff Mohamad Awi acara lontar peluru lelaki F20, sementara gangsa bagi acara lompat jauh T20 menerusi Zulkifly Abdullah.

Kem renang tidak kurang hebatnya apabila membawa pulang dua gangsa di Arena Sukan Akuatik, masing-masing menerusi Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan dalam acara 100m kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual) dan Zy Lee Kher dalam acara 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal).

China menghuni tangga teratas carta pungutan pingat dengan 67 emas, 53 perak dan 45 gangsa diikuti Iran (16-19-12) dan Jepun (12-13-20).
– BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427