Konsortium Berjaya Rail sedia laksana projek HSR KL-Singapura

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya Rail) bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG).

Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Rail, Farizul Hazli Baharom, berkata pihaknya sudah melengkapkan kertas kerja projek HSR KL-SG merangkumi pelbagai sudut termasuk pelaksanaan, pembiayaan dan impak ekonomi jangka masa panjang.

Beliau berkata, pihaknya hanya menunggu keputusan daripada kerajaan untuk membina dan mengendalikan projek berkenaan melalui model perkongsian awam-swasta.

“Kami sentiasa yakin dan sedia untuk projek HSR KL-SG, namun semuanya masih bergantung kepada kerajaan.

“Jika lewat dilaksanakan, ia akan memberikan kesan bukan saja kepada peningkatan kos tetapi perkara berkaitan lain,” katanya ketika ditemui di Forum HSR Asia 2024 di sini.

Kerajaan dijangka memuktamadkan keputusan kebolehlaksanaan projek HSR KL-SG yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan ada penghujung suku keempat tahun ini.

Berjaya Rail, anak syarikat Berjaya Land Bhd (Berjaya Land), mengembangkan perniagaan terasnya merangkumi pengangkutan dan mengambil bahagian dalam membida projek HSR KL-SG melalui konsortium bersama IJM Construction Sdn Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Mengulas lanjut, Farizul Hazli berkata, Berjaya Rail yakin aspirasi utama kerajaan dalam pelaksanaan sebarang projek mega adalah untuk memastikan terdapat rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi.

Justeru, beliau berkata kereta api berkelajuan tinggi adalah salah satu projek yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi.

Malah, katanya pembabitan sektor swasta adalah penting dalam pembangunan infrastruktur negara kerana sektor swasta mampu menyediakan pembiayaan dan meminimumkan risiko serta pendedahan kepada kerajaan.

“Namun, sektor swasta memerlukan bantuan dan kerjasama daripada kerajaan untuk bekerja bersama-sama bagi memastikan risiko dapat dikurangkan, kos dapat dioptimumkan dan manfaat dapat dimaksimumkan.

“Ia tidak boleh berfungsi secara berasingan, sektor swasta perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam pelbagai perkara utama,” katanya.

Ditanya mengenai kos pembinaan serta pembiayaan projek HSR KL-SG, Farizul Hazli berkata, konsortium masih belum memuktamadkan kos keseluruhan projek itu kerana kajian lanjut perlu dilakukan dari segi kajian kejuruteraan terperinci.

Beliau berkata, dari segi pembiayaan pula, pelabur akan sedia untuk melabur dalam pembangunan projek HSR KL-SG selagi projek itu berdaya maju dan mendapat sokongan serta jaminan kerajaan dari segi dasar.

“Selagi itu ada, maka projek ini akan berdaya maju. Di situlah pelabur akan datang dan mereka akan tertarik dengan projek ini kerana pulangan akan datang bukan sahaja daripada hasil tambang, malahan daripada pembangunan berkaitan seperti hartanah sepanjang koridor terbabit.

“Jadi, kita perlu berfikir di luar kotakcara mendapatkan semula pulangan daripada projek ini,” katanya.

Mengenai laluan yang bakal digunakan oleh HSR KL-SG, Farizul Hazli berkata, pihaknya akan melaksanakan menggunakan panduan yang telah ditetapkan oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd.

Beliau berkata, ini kerana MyHSR sudah melaksanakan kajian mengenai HSR sejak sekian lama dan terdapat banyak versi pelarasan yang bersesuaian.

“Konsortium juga dibimbing oleh panduan tersebut (bagi menentukan jajaran laluan jika dianugerahkan kontrak pembinaan).

“Namun, sudah tentu kita akan melihat cara untuk mengoptimumkan kos, iaitu menurunkan kos lebih rendah tanpa menjejaskan prestasi. Begitu juga dengan perjanjian bilateral, kita akan mengikuti langkah daripada kerajaan,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427