Komplikasi demam denggi ragut 4 lagi nyawa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Empat kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) membabitkan tempoh 6 hingga 12 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata jumlah kes demam denggi bagaimanapun menurun sebanyak 55 kes kepada 2,487 kes pada ME32 berbanding 2,542 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi tahun ini yang dicatat hingga kini mencecah 73,680 kes berbanding 33,911 kes bagi tempoh sama pada 2022, meningkat sebanyak 39,769 kes atau 117.3 peratus.

“Sejumlah 53 kematian akibat komplikasi demam denggi pula dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat 31 kematian atau 140.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, sebanyak 73 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME32, menurun berbanding 86 pada minggu sebelumnya.

Ia membabitkan 57 lokaliti di Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (12); Sabah (dua); serta masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Kedah.

Sementara itu berhubung survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata, lima kes direkodkan pada ME32 menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 152 kes, setakat ini.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,932 sampel darah serta 141 sampel urin disaring dan hasilnya semua negatif.

Beliau menasihati orang ramai supaya melakukan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan persekitaran luar premis bagi memutuskan rantaian hidup nyamuk.

“Telur nyamuk dapat bertahan dalam keadaan kering hingga lapan bulan dan dapat menetas semula sekiranya terdapat sumber air, maka bekas takungan air perlu kerap dibersihkan,” katanya.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427