Kombinasi meter pintar dan MyTNB bantu kawal penggunaan elektrik

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Gabungan penggunaan meter pintar bersama aplikasi MyTNB  mampu membantu pengguna kediaman mengawal penggunaan elektrik sekali gus dapat mengelakkan pembaziran.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata hasil kajian dijalankan di Melaka pada tahun lepas mendapati, kesemua 24 peratus pengguna meter pintar di negeri itu yang memantau penggunaan elektrik di rumah melalui MyTNB dapat menurunkan kadar bil elektrik berikutan mereka mengubah tabiat penggunaan bagi menjimatkan elektrik.

“Meter pintar berfungsi sebagai jangka yang mengukur aliran tenaga elektrik dan  menghantar maklumat penggunaan ke pusat penyimpanan data TNB setiap hari.

“Informasi penggunaan elektrik ini boleh diakses pengguna di MyTNB  bagi membantu mereka merancang dan mengawal  penggunaan  tenaga elektrik dengan cekap serta cermat,” katanya ketika ditemu ramah Bernama baru-baru ini.

Untuk rekod, kerajaan memilih Melaka sebagai negeri pertama melaksanakan pemasangan meter pintar dengan lebih 360,000 telah dipasang sejak 2014 dan pemasangan meter berkenaan kini giat dilaksanakan di Lembah Klang.

Aplikasi  MyTNB  adalah aplikasi mudah alih percuma untuk menguruskan akaun elektrik pengguna TNB. Ia boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal MyTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my. Sehingga Feb 2021, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi MyTNB.

Menurut Mohamed Ghous pengguna yang tidak memiliki meter pintar juga boleh menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi ini tetapi hanya secara bulanan.

Setakat ini, katanya pemasangan meter pintar telah melebihi 1 juta unit dan ia diteruskan kepada kesemua  9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026.

Katanya, pemasangan meter pintar yang lebih meluas ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengguna ke arah mengubah tabiat penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah.

TNB adalah ejen pelaksana program pemasangan meter pintar bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat. Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427