Kibaran Jalur Gemilang semarak pelancaran Bulan Kebangsaan 2020

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di sini berlangsung hari ini dalam suasana penuh semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diadakan buat julung kalinya di Dataran Perdana, Perdana Putra dengan kehadiran terhad bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam situasi negara berhadapan pandemik COVID-19, petugas barisan hadapan tidak dilupakan apabila pemimpin agensi dan jabatan terbabit turut dijemput untuk bersama-sama menyertai tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Antara yang hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Turut hadir ialah menteri kanan termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, menteri Kabinet lain termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Acara dimulakan dengan amanat daripada Perdana Menteri yang turut dipancarkan secara langsung ke negeri-negeri.

Usai menyampaikan amanat, Muhyiddin menyerahkan Jalur Gemilang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), disusuli dengan upacara menaikkan bendera dan nyanyian Lagu Negaraku yang diiringi Pasukan Pancaragam ATM dan Kumpulan Koir Pentarama, Jabatan Penerangan.

Upacara menaikkan bendera berkenaan turut disertai oleh enam pegawai yang mewakili pasukan barisan hadapan terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penerangan.

Kemuncak acara pelancaran ialah nyanyian lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 iaitu Malaysia Prihatin yang diperdengarkan buat kali pertama oleh Kumpulan Koir Pentarama sambil diiringi dengan kibaran Jalur Gemilang.

Lagu berkenaan adalah hasil ciptaan dan gubahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail dan lirik oleh El Sol Akhmad.

Majlis di Dataran Perdana itu diakhiri dengan Perdana Menteri melepaskan konvoi Info on Wheels (IoW) Merdeka yang akan menjelajah ke seluruh negara sehingga 16 September ini untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta menyemarakkan semangat kibar Jalur Gemilang.

-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427