Khidmat peneman peribadi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin dengan keperluan wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), pensyarah ini mengambil inisiatif menyediakan khidmat pengangkutan dan peneman peribadi dari kalangan golongan hawa sendiri.

Khidmat dinamakan Makcik Travels itu khusus untuk memenuhi permintaan golongan berkenaan yang mahukan keselesaan dan rasa selamat menggunakan pemandu dan peneman wanita ketika berurusan dan menjalani rutin seharian mereka di luar.

Pengasas Makcik Travels Dr Shazlina Kamarulzaman berkata, idea berkenaan tercetus selepas menyedari keperluan golongan itu yang bimbang keselamatan atau risiko jenayah yang kemungkinan boleh terjadi terutama apabila mereka bersendirian.

“Ia bermula daripada usaha anak ketiga saya yang menyediakan khidmat pengangkutan untuk rakan kolejnya secara kecil-kecilan dua tahun lalu.

“Daripada situ timbul idea untuk mengembangkan khidmat sama dengan fokus kepada golongan wanita bermula November lalu.

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan apabila memang banyak permintaan untuk pemandu wanita kerana pelanggan rasa lebih selesa dan selamat apabila seseorang menemani mereka,” katanya.

Beliau yang berusia 48 tahun berkata, sejak Mei lalu mereka menerima permintaan tinggi untuk ‘chaperone’ atau peneman wanita, warga emas dan OKU.

“Kebanyakan pelanggan mahukan seseorang yang dipercayai dan selesa menemani mereka sama ada membeli belah, klinik, hospital, pusat dialisis dan sebagainya.

“Malah, kebanyakan panggilan diterima juga membabitkan keperluan menghantar dan menjemput pesakit dialisis yang memerlukan seseorang untuk membawa mereka pulang dengan selamat selepas selesai menjalani rawatan dialisis.

“Ada juga ibu bapa yang kesuntukan masa meminta kami menjemput anak mereka dari sekolah ke rumah selain turut menyediakan khidmat penghantaran barangan dan trip tengah malam,” katanya.

Katanya, caj pemandu dikenakan mengikut perbatuan dan keadaan trafik manakala peneman pula mengikut tempoh jam.

“Kita menerima tempahan bermula jam 8 pagi hingga 11 malam dan menyediakan khidmat pengangkutan 24 jam kerana ada pelanggan mahukan pemandu wanita menghantar dan menjemput mereka di lapangan terbang.

“Dari segi pemilihan pemandu dan peneman, kita amat teliti apabila calon perlu menjalani proses temu duga, tapisan serta kriteria tertentu bertepatan dengan cogan kata kita ‘pengangkutan dan peneman selamat’.

“Setiap pemandu dan peneman sudah semestinya dilatih sebagai persediaan memberikan perkhidmatan mesra pengguna kepada golongan terbabit,” katanya.- HMetro

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427