Khazanah Nasional kekal berdaya tahan – PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan kekal berdaya tahan dan memiliki keazaman untuk mencapai matlamatnya demi kepentingan negara, demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun 2021 dijangka menjadi tahun mencabar kepada sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu berikutan pemulihan sepenuhnya tidak dapat dijangkakan bagi beberapa sektor utama seperti penerbangan dan pelancongan sebelum 2023, beliau tetap yakin terhadap kemampuan Khazanah untuk memastikan kemampanan perniagaan dalam jangka panjang sambil meneruskan pengurusan risiko dengan

sewajarnya dan mengekalkan tadbir urus yang baik.

Beliau yang juga Pengerusi Khazanah berkata, sayap pelaburan kerajaan itu berjaya mendepani cabarannya dan mencatatkan prestasi keseluruhan yang stabil bagi 2020, di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu dan persekitaran operasi yang sukar.

“Kemampuan ini meyakinkan kita terhadap keupayaan Khazanah untuk mengharungi cabaran yang getir, melabur untuk masa depan kita, dan memberikan nilai yang lestari atau mampan kepada semua rakyat Malaysia.

“Melalui daya tahan yang kukuh dan semangat yang kental, kita akan mampu menjadi negara dan bangsa yang maju. Tiada siapa yang dapat menyangkal ketika di waktu berlaku kepayahan, kita dapat melihat nilai yang terbaik muncul dalam diri manusia,” katanya dalam Perutusan Pengerusi dalam Laporan Khazanah 2020.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata melangkah ke hadapan, Khazanah akan menumpukan kepada Lima Keutamaan Strategik yang dikenal pasti bagi tahun yang mendatang.

Beliau berkata, keutamaan itu termasuklah meningkatkan pulangan komersial, menghasilkan nilai berimpak melalui pelaburan strategik kami, mengambil kira atau mempertimbangkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam semua aktiviti pelaburan, membina asas digital dan teknologi yang kukuh, dan terus melabur dalam pembangunan warga Khazanah.

Pada 2020, Khazanah mencatatkan keuntungan daripada operasi sebanyak RM2.9 bilion meskipun berdepan persekitaran yang mencabar.

Pada tahun lalu juga memperlihatkan sayap pelaburan kerajaan itu berupaya mencatatkan pendapatan dividen yang tinggi sebanyak RM5.2 bilion, hasil pelupusan yang lebih rendah.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427