KUCHING: Pasukan Pengawal Pantai Sarawak (Sarawak Coastguard) akan dibekalkan dengan kapal peronda yang lebih berkuasa bagi meningkatkan keupayaannya mengawal perairan negeri ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, untuk itu pihaknya kini berusaha mendapatkan tiga lagi kapal peronda laju bersaiz besar untuk kegunaan pasukan berkenaan.
Katanya, perolehan aset baharu itu sekali gus dapat menampung ketidakcukupan aset agensi keselamatan yang lain bagi mengawal sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang marin di negeri ini.
“Kita sedang berusaha mendapatkan kapal peronda yang lebih besar bagi membolehkan Sarawak Coastguard meronda lebih jauh dan lama selaras dengan tanggungjawabnya menjaga lapan Taman Negara Marin di Sarawak,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin serta Pengarah UKPS, Datuk Dr Chai Khin Chung.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM90 juta untuk mendapatkan kapal peronda Kelas Pulau itu yang dibentangkan dalam Bajet Sarawak 2020.
Katanya, enam kapal peronda laju yang berukuran 25 meter panjang dan dikuasakan teknologi ‘water jet’ mula beroperasi, hari ini.
“Perolehan kapal peronda laju Kelas Pulau ini juga adalah inisiatif signifikan kerajaan Sarawak selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam meningkatkan kawalan keselamatan pesisiran pantai.
“Malah aset ini juga mengukuhkan kemampuan Sarawak Coastguard dalam memelihara alam sekitar ke arah Sarawak Negeri Maju pada tahun 2030,” katanya.
Katanya, sebagai agensi penguatkuasaan maritim tempatan, Sarawak Coastguard bekerjasama dengan agensi negeri dan Persekutuan yang lain dalam menjaga perairan Sarawak.
“Dengan kerjasama yang akrab, saya percaya penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dapat ditingkatkan,” katanya.
– BH