Ketua tentera blok Afrika Barat bincang rampasan kuasa di Niger

Estimate Reading Time: 2 minutes

ABUJA: Ketua tentera anggota blok Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) akan bertemu di ibu negara Nigeria, Abuja bermula hari ini hingga Jumaat bagi membincangkan rampasan kuasa di Niger, kata pertubuhan itu.

Ahad lalu, ECOWAS mengenakan sekatan ke atas Niger dan memberi amaran ia mungkin menggunakan kekerasan tentera selepas memberi masa seminggu kepada junta untuk mengembalikan semula Presiden Mohamed Bazoum.

Seorang pegawai ECOWAS semalam memberitahu AFP, delegasi dari blok itu yang diketuai bekas presiden Nigeria, Abdulsalami Abubakar, akan melawat Niger hari ini.

Rampasan kuasa itu mencetuskan kebimbangan negara Barat, yang berusaha keras untuk membendung pemberontakan di utara Mali pada 2012, kemudian merebak ke Niger dan Burkina Faso selepas tiga tahun dan kini membayangi negara yang lemah di Teluk Guinea.

Jumlah orang awam, tentera dan polis yang tidak terkira banyaknya terbunuh di seluruh rantau itu, kebanyakannya dalam pembunuhan beramai-ramai yang kejam.

Selain itu, kira-kira 2.2 juta orang di Burkina Faso meninggalkan rumah mereka akibat kemusnahan ekonomi yang membawa kesan teramat buruk di rantau itu.

Warga Itali dan negara Eropah lain yang dipindahkan dari Niger tiba di lapangan Terbang Ciampino dekat Rom, Itali. – Foto REUTERS

 

Sementara itu Perancis bertindak mengeluarkan warganya dari Niger, dengan pesawat pertama negara itu yang membawa 262 penumpang mendarat di lapangan terbang Paris-Roissy Charles de Gaulle, sejurus selepas jam 1.30 pagi Rabu waktu tempatan.

“Terdapat 262 orang di dalam pesawat itu, sebuah Airbus A330, termasuk sejumlah bayi,” kata Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna kepada AFP sebelum ini dan memaklumkan ‘hampir semua penumpang adalah senegara’.

Sementara itu, sempadan darat dan udara Niger dengan lima negara jiran dibuka semula, hampir seminggu selepas ia ditutup berikutan rampasan kuasa berkenaan, kata seorang daripada pejuang, yang diumumkan di saluran televisyen negara.

“Sempadan darat dan udara dengan Algeria, Burkina Faso, Libya, Mali dan Chad dibuka semula mulai hari ini,” katanya, beberapa jam selepas penerbangan pemindahan pertama oleh pesawat Perancis itu berlepas.

Krisis di Niger dikhuatiri mencetuskan satu lagi peperangan di wilayah disifatkan sebagai antara yang termiskin di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini kerana presiden Niger yang digulingkan, Bazoum, dilihat sebagai boneka Barat dan Kesatuan Eropah yang mendapat sokongan Perancis serta Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pangkalan tentera di negara itu.

Sementara itu, tentera Niger yang merampas kuasa pula mendapat sokongan Russia dan sudah mendapat sokongan daripada negara jiran Burkina Faso dan Mali, bagi menghadapi sebarang tindakan ketenteraan terhadapnya. – AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427