Ketua junta Myanmar, Menteri Luar China bincangkan kestabilan sempadan

Estimate Reading Time: 2 minutes

YANGON: Ketua junta Myanmar dan Menteri Luar China mengadakan perbincangan mengenai soal keselamatan di sepanjang sempadan bersama mereka, yang menyaksikan peningkatan pertempuran sejak kebelakangan ini.

Ia susulan penawanan wilayah oleh kumpulan pemberontak bersenjata etnik minoriti daripada tentera Myanmar dalam beberapa minggu lalu.

China adalah sekutu utama dan pembekal senjata kepada junta, tetapi penganalisis berkata, mereka juga mengekalkan hubungan baik dengan kumpulan etnik yang berperang dengan tentera di negeri Shan di utara Myanmar.

Pertemuan di ibu negara, Naypyidaw, adalah yang pertama antara Wang Yi dan ketua junta yang merampas kuasa pada 2021, Min Aung Hlaing, selepas tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Difahamkan, kedua-dua mereka itu membincangkan ‘kestabilan kawasan sempadan’, di mana tentera Myanmar dilihat semakin hilang kawalan.

Negeri Shan menjadi lokasi pertempuran sengit sejak akhir Jun lalu, selepas pakatan kumpulan pemberontak memulakan kembali serangan terhadap tentera di sepanjang lebuh raya perdagangan penting dengan China.

Negeri Shan bersempadan dengan wilayah Yunnan dan menjadi bahagian penting dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) Beijing.

Menurut junta, Aung Hlaing dan Wang juga ‘berbincang dan bertukar pandangan secara terbuka mengenai… pilihan raya umum pelbagai parti yang bebas lagi adil’.

Menurut agensi berita Xinhua, Wang berkata, China menentang huru-hara atau konflik di Myanmar dan menyokong usaha ke arah memulihkan proses peralihan demokrasi secepat mungkin,

Junta bagaimanapun sudah beberapa kali menolak jadual untuk pilihan raya dan pada tahun lalu mengharamkan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi yang popular.

Semalam, pertempuran antara tentera dan kumpulan bersenjata etnik di negeri Shan berterusan.

Mejar Jeneral Tar Bhone Kyaw memberitahu AFP bahawa pejuang Tentera Pembebasan Kebangsaan (TNLA) Ta’ang sedang bertempur dengan tentera junta di bandar negeri Shan, Hsipaw dan Naungcho.

Awal bulan ini, pejuang Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) menawan pentadbiran timur laut tentera di bandar Lashio, yang menempatkan kira-kira 150,000 orang.

Penawanan perintah wilayah – yang pertama oleh penentang junta sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 – mencetuskan kritikan awam yang jarang berlaku terhadap jeneral tertinggi oleh penyokongnya.

Aung Hlaing kemudiannya berkata, perikatan itu menerima senjata, termasuk dron dan peluru berpandu jarak dekat, daripada sumber ‘asing’ yang tidak didedahkan.

Menurut junta dan kumpulan penyelamat tempatan, puluhan orang awam sudah terbunuh atau cedera dalam pertempuran baru-baru ini.

Pihak junta dan kumpulan bersenjata etnik bagaimanapun masih tidak mengeluarkan angka korban sebenar.

Awal semalam, junta turut menafikan khabar angin di media sosial mengenai jeneral tertinggi menahan Aung Hlaing dalam rampasan kuasa baharu di Naypyidaw sebagai ‘propaganda’ yang disebarkan oleh ‘pengkhianat’.

Pegawai tertinggi China terakhir kali melawat junta ialah bekas Menteri Luar, Qin Gang, yang mengadakan perbincangan dengan Aung Hlaing pada Mei tahun lalu.
-AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427