Ketepikan perbezaan, fokus usaha halang genosid di Gaza

Estimate Reading Time: 3 minutes

MUNGKIN ramai tidak tahu, pernah satu ketika dulu untuk kibarkan bendera Palestin di tanah Palestin sendiri pun tidak boleh dilakukan kerana diharamkan. Ia berlaku selepas perang enam hari 1967 menyaksikan rejim Zionis menguasai Tebing Barat dan Gaza, selain mengilhakkan atau memasukkan Baitulmaqdis Timur (lokasi Masjid Al-Aqsa) sebagai wilayah haramnya.

Pengilhakan itu menyaksikan pencabulan terbuka Israel ke atas hasrat dunia yang mahu Baitulmaqdis Timur diletakkan di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewakili masyarakat dunia.

Namun, itu tidak sesekali mematahkan semangat juang warga Palestin atau mana-mana individu menyokong perjuangan Palestin. Sebaliknya, warga Palestin menggunakan tembikai sebagai ganti kerana jika dibelah, warna pada buah, iaitu merah, hitam, hijau dan putih, melambangkan bendera Palestin.

Ketakutan terhadap simbol Palestin itu menyebabkan rejim Zionis melakukan tindakan keras termasuk menutup 79 galeri lukisan di Ramallah (Tebing Barat) memaparkan lukisan bendera Palestin.

Begitulah ketakutan rejim Zionis hingga bukan hanya bendera diharamkan, bahkan warna melambangkan bendera Palestin juga diharamkan, demikian menurut artis Issam Badrl ditemu bual The National pada 2021.

“Kalau kamu lukis tembikai kami akan rampas,” demikian amaran pegawai rejim Zionis ke atas artis Palestin ketika itu.

Pengharaman itu bagaimanapun berakhir pada 1993 apabila Perjanjian Oslo dimeterai antara rejim Zionis dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Sikap paranoid rejim Zionis tidak berakhir di situ kerana ia dapat disaksikan lagi selepas 7 Oktober lalu pascaoperasi Taufan al-Aqsa HAMAS dalam tindak balas kumpulan itu ke atas pencerobohan berterusan Masjid al-Aqsa dan keganasan peneroka haram Israel terhadap warga Palestin di Tebing Barat membawa kepada perang di Gaza hari ini.

Beberapa hari lalu, tular video seorang pegawai perisikan rejim Zionis kelihatan marah dan ‘menggelupur’ ketika ditemu bual seorang peneraju stesen penyiaran India hanya kerana warna sari dipakai peneraju wanita itu.

“Kamu tidak boleh meneruskan propaganda Palestin,” kata pegawai paranoid itu, Frederick Landau kemudiannya bertanya, “Adakah kamu di pihak orang baik atau orang jahat, adakah kamu di pihak cahaya atau kegelapan, kebaikan atau kejahatan?”

Pegawai Zionis itu menyatakan pakaian biru dan putih dipakainya (merujuk kepada bendera Israel) akan menang, selain mengarahkan peneraju wanita itu untuk tidak memakai pakaian dengan warna bendera Palestin itu.

Peneraju wanita itu, Sheraya berkata, dia tidak akan membiarkan pegawai perisikan Israel itu menentukan apa yang beliau pakai kerana sari milik neneknya itu tiada kena-mengena dengan konflik yang berlaku di Palestin, ketika ini.

Apa ingin saya sampaikan ialah perjuangan Palestin tetap akan diteruskan walaupun pelbagai halangan berlaku ketika masyarakat dunia tidak mampu menghentikan tindakan Zionis Israel disokong kuasa besar terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Larang perhimpunan sokong Palestin

Di Perancis, Menteri Dalam Negerinya pada 12 Oktober lalu melarang perhimpunan menyokong Palestin atas alasan mungkin mengganggu ketenteraman awam ketika negara sama membenarkan kelompok pelampau membakar al-Quran atas sebab kebebasan bersuara.

Nampak permainan Perancis sememangnya berat sebelah ke atas umat Islam. Tindakan Perancis bersikap ‘Islamofobik’ itu bukanlah pelik kerana ia negara sekular sememangnya terkenal dengan dasar anti-Islam dan diskriminasi.

Namun apa berlaku di Dataran Merdeka, kelmarin di Perhimpunan Freedom for Palestin amat pelik apabila penganjur perhimpunan itu dikatakan menggelar segelintir peserta perhimpunan membawa plakad menggelar Benjamin Netanyahu sebagai ‘setan’ penjenayah perang, sebagai Zionis.

Lebih pelik apabila ada dakwaan netizen bahawa individu berkenaan juga melarang peserta perhimpunan itu daripada melaungkan ‘Allahuakbar’ bagi menjaga hati peserta bukan Islam, alasan mungkin tidak dapat diterima semua pihak.

Hakikat individu berkenaan adalah Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Nordin yang sememangnya ‘orang lama’ dalam perjuangan Palestin amat meresahkan, namun ia tidak seharusnya dijadikan isu berterusan ketika kereta kebal rejim Zionis akan menggempur Gaza bila-bila masa sahaja.

Dr Musa dalam temu bualnya dengan portal Scoop menafikan beliau menggelar mereka membawa poster dengan gambar ‘setan’ Netanyahu sebagai Zionis tetapi mendakwa hanya memberitahu kepada peserta himpunan untuk tidak meletakkan diri serendah Zionis.

Video itu insiden ‘gelaran Zionis’ itu sudah tular dan kini tertakluk kepada tafsiran umum.

Pakar pediatrik itu juga menafikan beliau melarang peserta perhimpunan melaungkan takbir, tetapi menyifatkan mereka tetap berbuat demikian mungkin kelompok sedikit konservatif dan ekstremis yang melihat isu Palestin sebagai isu antara Muslim dengan Yahudi.

Memang diakui Dr Musa atau penganjur berhak menetapkan syarat bagaimana perhimpunan ‘kemanusiaan’ itu dijalankan atas apa-apa sebab sekalipun, termasuk tidak membenarkan bendera HAMAS dikibarkan atas pertimbangan tertentu.

Perkara itu tidak boleh dinafikan kerana ia hak penganjur melainkan bendera Palestin juga dilarang dikibarkan, maka bolehlah peserta perhimpunan membawa buah tembikai.

Secara peribadi saya tidak melihat perbuatan melaungkan takbir sebagai tindakan ‘ekstremis’ bagi seorang Muslim ketika lebih 4,600 warga Palestin, termasuk 1,875 kanak-kanak tidak berdosa, dibunuh dalam serangan udara sejak 7 Oktober lalu.

Tanpa mengetepikan hak peserta yang marah dan tersinggung dengan apa berlaku di Dataran Merdeka serta menghormati Dr Musa yang saya kenali sebagai aktivis pro-Palestin, isu ini tidak perlu diperbesarkan apatah lagi dipolitikkan.

Realitinya, rejim zionis Israel, Sabtu lalu memberikan amaran kepada 2.3 juta penduduk Gaza yang tidak berpindah ke selatan wilayah konflik itu, akan dianggap bersekutu dengan ‘pengganas’ dan boleh dibunuh.

Ini sepatutnya menjadi tumpuan utama kita mendesak masyarakat dunia untuk memastikan genosid atau pembunuhan besar-besaran ke atas warga Palestin di Gaza dihentikan segera atau setidak-tidaknya gencatan senjata dicapai.

Perkara ini hanya boleh dicapai jika kita semua bersatu suara dalam perjuangan menghentikan perang di Gaza atas dasar membela saudara seakidah (baca: membebaskan Palestin dan Masjid al-Aqsa) atau atas nama perjuangan kemanusiaan. Kedua-duanya menuju arah yang sama.
Penulis adalah aktivis kemanusiaan
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427