JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 1.5 kali ganda pada minggu epidemiologi 33 berbanding minggu epid sebelumnya.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata negeri ini mencatatkan penurunan kes wabak jangkitan saluran pernafasan, Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI).
“Secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di Johor menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 3,075 kes.
“Ini diikuti dengan Kluang 1,139 kes, Batu Pahat (905), Tangkak (902), Segamat (797), Kota Tinggi (717), Pontian (591), Muar (334), Kulai (279) dan Mersing (133).
“Tiada wabak aktif HFMD dilaporkan ketika ini namun penularan wabak HFMD berlaku membabitkan taska (46) diikuti oleh rumah persendirian (22), tabika (14), tadika (sembilan), prasekolah (sembilan), sekolah rendah (tiga), pusat jagaan harian (tiga) dan lain-lain (dua),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Tian Soon berkata, bagi wabak jangkitan saluran pernafasan, ILI dan URTI pula, sebanyak 5,689 kes dilaporkan pada minggu epid 33.
Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 7.9 peratus berbanding 6,177 kes pada minggu epid sebelumnya.
“Kebanyakan kluster yang dilaporkan membabitkan institusi pendidikan sebanyak 77.8 peratus. Namun tiada kluster baharu yang dilaporkan sepanjang pada minggu epid 33.
“Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.
“Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah berasrama dikesan,” katanya.– Berita Harian