KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 76 kes batuk kokol di Sabah sepanjang tempoh antara Januari hingga 27 April lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 986 peratus berbanding minggu epid sama (ME16) pada tahun lalu, yang hanya merekodkan tujuh kes.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes batuk kokol di Sabah dikenal pasti membabitkan 11 daerah dengan Kota Kinabalu paling tinggi mencatatkan 20 kes.
“Selain itu, batuk kokol sama turut direkodkan di Lahad Datu dengan 16 kes, diikuti 15 di Tawau, lapan di Putatan serta masing-masing empat di Semporna dan Papar.
“Di Kunak dan Tambunan pula masing-masing mencatatkan tiga kes, manakala daerah Kinabatangan, Tuaran dan Sandakan masing-masing dengan satu kes.
“Selain 41 kes membabitkan rakyat tempatan, batuk kokol di Sabah turut dikesan membabitkan 27 warga Filipina dan lapan dalam kalangan warga Indonesia,” katanya ketika sidang media selepas sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Zon Negeri Sabah hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap EXCO Kesihatan negeri, Datuk James Ratib; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.
Dr Zaliha dalam pada itu mengakui jumlah kes batuk kokol di Sabah agak membimbangkan, namun pihaknya akan membuat pemantauan secara berterusan.
“Jumlah kes ini boleh dikatakan agak banyak, namun bila (laporan berkenaan kes batuk kokol) sampai kepada pihak kita, kita sudah pasti akan melakukan pemantauan seterusnya.
“Setakat ini kita juga menerima laporan tentang kes itu di negeri lain, tetapi saya akan meneliti dan cuba mendapatkan laporan (lebih terperinci) tersebut,” katanya.
Dr Zaliha turut menggesa ibu bapa khususnya di Sabah membawa anak-anak yang mempunyai gejala batuk ke hospital atau klinik berdekatan dengan kadar segera bagi membolehkan pemantauan dan rawatan diberikan. – Berita Harian