‘Kerjasama UMNO-PKR tidak akan berlaku’-Khairuddin

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: PAS yakin UMNO tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PKR walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kemungkinan itu akan berlaku.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata sejarah membuktikan kenyataan dikeluarkan Anwar sebelum ini banyak yang kurang tepat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat, berkata dakwaan Anwar itu hanya sebagai usaha pecah dan perintah yang sering digunakan oleh pembangkang.

“Boleh percaya ke cakap Ketua Pembangkang (Anwar). Sejarah membuktikan Ketua Pembangkang bercakap banyak yang kurang tepat. Apa yang dibuat oleh Ketua Pembangkang adalah usaha pecah dan perintah.

“Itu adalah kaedah pembangkang sebab dulu pun saya pembangkang. Taktik biasa sebenarnya dan PAS tegaskan kita memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan kita pertahankan Perikatan Nasional (PN), kita mahu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama untuk gagasan rakyat Malaysia dan Malaysia Prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Persatuan Pekilang Panel Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), di kementeriannya, di sini hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata beliau yakin kerjasama itu tidak akan berlaku kerana UMNO dan PAS sudah muafakat menerusi MN serta sudah menandatangani piagamnya pada 14 September 2019.

“Kita setiap dua minggu sekali adakan mesyuarat perundingan di peringkat induk antara PAS dan UMNO. Rabu minggu depan akan ada satu lagi mesyuarat.

“Ia akan membabitkan 12 individu masing-masing merangkumi AJK Kerja PAS dengan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Timbalan, Naib Presiden, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda akan bermesyuarat untuk memperkasakan MN,” katanya.

Ditanya jika kerjasama itu berlaku, Mohd Khairuddin menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.

“Takkan berlaku (kerjasama antara PKR dan UMNO)… Insya-Allah. Tidak ada sekiranya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Anwar yang juga Presiden PKR tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO, walaupun perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.

Anwar dilaporkan berkata, kerjasama itu disokong beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen daripada UMNO serta ia akan menjadi kenyataan jika parti terbabit tekad memutuskan hubungan dengan BERSATU.

Bagaimanapun, Anwar berkata, masih terlalu awal untuk beliau memperinci inti pati perbincangan bersama pemimpin UMNO.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427